
Muhammad Suhaiil Nasiruddin, 42, dan Muhammad U’rwah Nasiruddin, 33, yang juga anak kepada ketua pegawai eksekutif GISBH, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid.
Dua beradik itu didakwa dengan niat bersama secara salah mengurung Muhammad Ikhlas Asy Syuhaimi Ismail, 35, selama sebulan di asrama pekerja Pasar Raya Ikhwan, Bandar Seri Manjung antara November hingga Disember 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 344 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nuranisah Ismah Muhammad Husaini menawarkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Shaqira Ibrahim memohon jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya sudah berkahwin, bekerja sendiri, tiada pendapatan tetap dan masing-masing mempunyai 10 serta 14 anak.
Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 serta seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 17 Dis ini sebutan semula kes.