Taylor’s College capai status Platinum ACCA

Taylor’s College capai status Platinum ACCA

Pengarah kampus Josephine Tan berkata pencapaian itu bukti program ACCA mereka diiktiraf badan akreditasi global.

Pengarah Kampus Taylor’s College Josephine Tan (empat dari kiri) bersama pentadbir institut itu dan wakil ACCA menunjukkan anugerah ‘Platinum Approved Learning Partner’ Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) Global yang berprestij. (Gambar Taylor’s College)
PETALING JAYA:
Taylor’s College memperkukuh kedudukannya sebagai institusi diyakini melalui pencapaian status ‘Platinum Approved Learning Partner’ Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) Global yang berprestij.

Tahap pengiktirafan tertinggi daripada badan akreditasi akauntan profesional dunia ini disifatkan pencapaian penting dalam komitmen institusi pendidikan tinggi tersebut untuk menyediakan pendidikan perakaunan bertaraf dunia.

Selain mengukuhkan kedudukan Taylor’s College sebagai peneraju pendidikan berkualiti dalam komuniti ACCA, status itu memberikan pelajar akses lebih luas kepada sumber pembangunan profesional ACCA dan rangkaian global yang dapat memacu pertumbuhan kerjaya mereka.

Pengarah Kampus Taylor’s College Josephine Tan berkata pencapaian itu mengesahkan kecemerlangan program ACCA institusi itu, selain dedikasi fakulti, pelajar dan rakan kerjasamanya untuk mengekalkan dan meningkatkan standard.

“Dengan komitmen teguh terhadap kecemerlangan dalam pendidikan, pengalaman dunia nyata dan integriti profesional, kami akan terus membimbing pemimpin perakaunan masa depan di Malaysia, melengkapkan mereka dengan kemahiran penting untuk cemerlang dalam industri yang sentiasa berkembang,” katanya dalam kenyataan.

Josephine menambah, pandangan panel penasihat industri Taylor’s turut menjadi kunci program mereka kekal seiring keperluan profesion yang sentiasa berubah.

Dengan sokongan berterusan daripada ahli panel, katanya, institusi itu dapat membina ekosistem berkembang maju untuk memperkukuh pelajar dan profesion perakaunan.

Ketua Portfolio ACCA Maritim Asia Tenggara Andrew Lim pula berkata kejayaan itu menyerlahkan dedikasi Taylor’s College terhadap kecemerlangan dalam menyampaikan pendidikan ACCA dan menyokong kejayaan pelajar, selaras dengan amalan terbaik global.

“Ia mencerminkan komitmen (Taylor’s College) untuk membentuk para profesional masa depan yang bukan sahaja cekap secara teknikal tetapi juga mematuhi etika dan profesional menjadi teras kepada tujuan ACCA dalam membina dunia lebih baik dan mampan,” katanya.

Dalam majlis sambutan bersama pelajar, alumni, dan rakan kerjasama, Taylor’s College menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan ACCA, yang disaksikan oleh Pengerusi Taylor’s Education Group Loy Teik Ngan dan Ketua Hubungan Pendidikan ACCA Maritim Asia Tenggara Ang Wen How.

Kerjasama itu bertujuan meningkatkan kejayaan pelajar dengan mewujudkan laluan dwi-anugerah untuk pelajar Diploma Perniagaan, sejajar dengan piawaian industri yang berkembang dan pembangunan baharu seperti Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD).

Tan berkata, kerjasama ini membolehkan pihaknya memperkenalkan program yang disesuaikan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Sebagai contoh, katanya, pelajar Diploma Perniagaan akan memperoleh pengetahuan asas dalam perakaunan, mempersiapkan mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke ACCA selepas tamat pengajian.

Pencapaian terkini institusi ini juga mencerminkan kejayaan berterusan pelajarnya, yang selama bertahun-tahun bukan sahaja menunjukkan kecemerlangan akademik tetapi juga kemampuan bersaing pada peringkat global.

Antara 2020 dan tahun ini, para pelajar ACCA Taylor’s College memperoleh markah tertinggi di Malaysia dan antara lima tertinggi di dunia dalam subjek-subjek seperti ‘Foundations in Audit’, ‘Audit and Assurance’, ‘Maintaining Financial Records’, ‘Recording Financial Transactions’, dan ‘Management Information’.

Selain akademik, pelajar ACCA institusi itu juga cemerlang dalam pertandingan berprestij, seperti memenangi Accounting Competency Challenge pada 2022, menewaskan 17 universiti seluruh Asean dan meraih gelaran ‘Most Determined Team’.

Tahun ini, pelajarnya turut memperoleh tempat ketiga dalam 2024 Institute of Management Accountants AsiaPac Student Case Competition.

Dengan hampir enam dekad membentuk landskap pendidikan Malaysia, Taylor’s College terus menerajui usaha membentuk pemimpin dan para profesional masa depan.

Pencapaian status Platinum ini selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan 60,000 akauntan bertauliah menjelang 2030, memperkukuhkan peranan Taylor’s College sebagai institusi yang dipercayai pada peringkat tempatan dan global.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.