
Agensi di bawah Kementerian Ekonomi itu berkata, ia merancang menyokong 5,000 sarjana perakaunan setiap tahun menjelang 2030 bagi melahirkan lebih 10,000 akauntan bertauliah baharu dalam tempoh enam tahun dan meningkatkan pendaftaran kursus teknologi daripada 8,000 kini kepada 50,000 setahun.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Ibrahim Sani berkata pensijilan profesional dan teknologi akan terus menjadi teras misi agensi itu.
“Melangkah ke depan, misi kami adalah terus memupuk dan mengembangkan bakat Bumiputera, tetapi dengan fokus lebih tajam.
“Pensijilan profesional dan teknologi akan kekal sebagai teras kerana di situlah keperluan serta peluang paling besar,” katanya dalam kenyataan.
Sepanjang 13 tahun lalu, YP memperkasakan lebih 70,000 bakat Bumiputera melalui biasiswa, peningkatan kemahiran dan latihan teknikal, melahirkan pemimpin dalam bidang perakaunan, teknologi, perubatan serta industri lain.
Antara alumninya Abby Ashraff Saprudin FCPA (Aust), graduan pertama program Certified Practicing Accountant Australia di bawah YP, yang kini timbalan dekan Universiti Multimedia.

“Selain sokongan kewangan, Yayasan Peneraju menyediakan rangkaian kukuh dan laluan berstruktur kepada saya. Mereka percaya kepada potensi saya apabila kelayakan profesional antarabangsa kelihatan sukar dicapai.”
Hannah Saqinah Haris yang bertukar daripada bidang kewangan ke teknologi melalui program Microsoft Cloud Solution Expert YP, kini pengurus audit teknologi maklumat di sebuah firma multinasional.

“Ketika itu, saya tiada pengetahuan tentang sistem awan. Tetapi, YP memberi saya keyakinan untuk mengambil langkah berani. Pensijilan itu mengubah laluan kerjaya saya sepenuhnya.”
Kini, YP melancarkan YPXLR8 (YP Accelerate), inisiatif latihan dan penempatan bagi membantu 1,000 profesional bukan teknologi beralih ke bidang teknologi.
YP turut merancang membimbing alumninya dalam peranan kepimpinan melalui program Talent Bank untuk melahirkan 10,000 pemimpin Bumiputera berimpak tinggi dalam bidang perniagaan, profesional dan komuniti menjelang 2030.
Layari https://peneraju.org untuk butiran kursus YP, kelayakan dan pembiayaan.