Angka 85 tempat program akaun di UM tepat, kata NC

Angka 85 tempat program akaun di UM tepat, kata NC

Naib Canselor UM Noor Azuan Abu Osman sahkan jumlah ambilan menerusi UPU, ditambah 28 lagi daripada program 'feeder' universiti.

universiti malaya
UM guna kaedah ‘kreatif’ untuk tingkatkan pengambilan pelajar, di samping memastikan penarafannya melonjak, kata Naib Canselor Noor Azuan Abu Osman.
PETALING JAYA:
Data dinyatakan oleh Jabatan Pengajian Tinggi berhubung tempat dalam program perakaunan Universiti Malaya (UM) adalah tepat, diperoleh daripada sistem Unit Pusat Universiti (UPU), tegas Naib Canselor UM Noor Azuan Abu Osman.

Mempertahankan data tersebut, beliau berkata, pengambilan keseluruhan sebenar bagi program itu tahun ini adalah seramai 113 pelajar, lebih tinggi berbanding angka 85 yang dinyatakan sebelum ini.

“85 itu datangnya daripada UPU, (merangkumi) matrikulasi, STPM, STAM, asasi dan juga diploma. Tetapi ada juga (kemasukan) lain, iaitu 28 orang daripada (program) ‘feeder’ UM,” katanya dalam video di Facebook hari ini.

Terdahulu, Presiden MCA Wee Ka Siong mempersoalkan 85 tempat yang ditawarkan itu, dengan menyatakan bahawa berdasarkan data konvokesyen UM, hampir 200 graduan menamatkan pengajian daripada program tersebut setiap tahun, dari 2011 hingga 2024.

Wee turut mempersoalkan mengapa Jabatan Pengajian Tinggi memaklumkan hanya 85 tempat ditawarkan ‘sedangkan rekod (UM) menunjukkan jumlah graduan jauh lebih tinggi’.

“Jika UM hanya benar-benar ambil 85 pelajar setahun, ini bermakna dalam tempoh empat tahun, hanya ada 340 mahasiswa perakaunan pada satu-satu masa. Tetapi, jumlah keseluruhan pelajar UM seramai 43,000 orang,” katanya.

Noor Azuan berkata, selaku universiti perdana negara, UM menggunakan ‘kaedah-kaedah kreatif’ untuk menambah bilangan pelajarnya dan memastikan penarafannya terus melonjak.

“Kita perlukan peralatan-peralatan yang canggih, kakitangan dan pelajar antarabangsa, dan sebagainya. Disebabkan itu, kita ada yang dikenali sebagai saluran terbuka, (untuk kemasukan) lebih kurang 30-50 orang,” katanya.

Tegasnya, saluran terbuka itu bukanlah laluan automatik, dan pemilihan pemohon hanya akan dimuktamadkan selepas proses rayuan dibuat, berdasarkan kedudukan mereka.

“Mereka diberikan tawaran bersyarat. Ini maksudnya mereka telah memenuhi syarat tetapi belum lagi dapat (tempat),” katanya menambah, surat tawaran hanya akan dikeluarkan selepas tempoh rayuan.

“Jadi dalam tempoh rayuan, 30-50 orang ini akan disusun kedudukannya untuk kita pilih yang terbaik.”

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir turut menasihatkan semua pihak agar berhenti menjadikan isu tersebut sebagai modal politik.

Menurutnya, pelbagai komen positif dan negatif dilemparkan sejak isu ini timbul dan ia memberi tekanan kepada para pelajar.

Justeru, beliau menggesa semua pihak berhenti membuat andaian yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.