
Selepas mencetuskan kontroversi melibatkan seorang pelajar cemerlang tidak diterima masuk ke Universiti Malaya (UM), Wee kemudian mendedahkan satu lagi kes graduan matrikulasi dengan PNGK 4.0 dan markah merit 100 gagal ke tiga universiti awam pilihannya.
Namun, Lee, 19, yang memohon jurusan undang-undang di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM), ditawarkan pilihan keempatnya, iaitu jurusan perakaunan di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Menurut keputusan Lee di Kolej Matrikulasi Melaka yang disertakan dalam hantaran di media sosial terbabit, dia mengikuti program perakaunan.
Mengulas perkembangan itu, Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin mendesak Wee berhenti menggunakan isu pendidikan tinggi semata-mata untuk meraih publisiti.
“Jangan jadikan universiti awam sebagai kambing hitam untuk menabur kebencian dan menimbulkan rasa curiga dalam kalangan rakyat.
“Universiti bukan pentas politik untuk dipermain-mainkan,” katanya dalam kenyataan.
“Cubaan menggambarkan sistem ini sebagai tidak adil hanyalah satu helah untuk menyalakan api perkauman yang tidak bertanggungjawab.”
Shaiful berkata, sebagai pemimpin, Wee seharusnya membantu pelajar bermasalah berjumpa pihak berwajib, bukan ‘bersandiwara’ di media sosial.
“Itulah jalan betul, bukannya memburukkan sistem pendidikan negara di khalayak umum demi perhatian politik,” katanya.
“Sikap sebegini jelas menunjukkan ‘desperado’ politik yang sudah kehabisan modal, lalu memilih jalan mudah dengan memperalatkan kisah pelajar cemerlang demi kelangsungan diri.”