
Memberi keterangan di Mahkamah Tinggi sebagai saksi pertama pihak pembelaan, Najib Razak berkata hakikat bahawa Shahrol memilih mendengar arahan Low untuk menggunakan e-mel peribadi berbanding akaun rasmi 1MDB atas alasan komunikasi antara mereka adalah ‘sulit’ membayangkan bahawa beliau sedar perkara itu tidak sepatutnya berlaku.
Bekas perdana menteri itu berkata demikian di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bagi menjawab dakwaan Shahrol ketika memberi keterangan sebagai saksi pihak pendakwaan ke-9.
Najib berkata sepanjang berkhidmat sebagai perdana menteri, beliau tidak pernah menggunakan kuasa di bawah Perkara 117 Memorandum dan Artikel 1MDB meskipun mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
“Pergantungan Shahrol terhadap dakwaan Low bahawa semua tindakan ini telah diambil dengan ‘restu’ saya di bawah Perkara 117 pada asasnya adalah cacat dan sebagai CEO 1MDB, beliau memikul tanggungjawab untuk meminta kelulusan bertulis secara rasmi di bawah Perkara 117 sekiranya beliau percaya sokongan saya adalah perlu.
“Tanpa kelulusan itu, tiada tindakan boleh dianggap dibenarkan oleh saya di bawah peruntukan tersebut sekali gus menjadikan dakwaan Shahrol adalah tidak berasas dan nampak seolah-olah seperti jalan mudah bagi melindungi dirinya daripada kesalahan jenayah yang jelas dilakukan beliau,” katanya.
Selain itu, Najib berkata jika Shahrol benar-benar percaya bahawa arahan Low mempunyai sokongannya, beliau sepatutnya membuat salinan e-mel terbabit dan menyimpan semua komunikasi mereka sebagai bukti.
“Ini bagi membuktikan penglibatan saya atau sekurang-kurangnya membuktikan bahawa beliau secara aktif telah mengikut setiap arahan yang didakwa diterima daripada saya.
“Shahrol mendakwa mengikut semua arahan ini kerana percaya ia demi menjaga kepentingan saya seolah-olah beliau bertindak atas rasa tanggungjawab atau taat setia. Bagaimanapun, tiada asas untuk dakwaan ini,” katanya.
Najib juga berkata beliau tidak tahu mengenai pertemuan Shahrol dengan Low di kediaman ahli perniagaan itu dan tidak pernah ke sana tidak seperti para pegawai tinggi 1MDB lain termasuk peguamnya iaitu Jasmine Loo serta bekas CEO Mohd Hazem Abd Rahman.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu membela diri atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Pada 30 Okt lepas, Sequerah memerintahkan Najib membela diri atas semua 25 pertuduhan selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.