
Ketika pengurusan kes hari ini, peguam Najib, Shafee Abdullah, membangkitkan isu berhubung keputusan minggu lalu apabila Loke menolak usaha anak guamnya untuk memfailkan bekas peguam negara, Ahmad Terrirudin Salleh, atas kesalahan menghina mahkamah.
Kebimbangan itu berkisar pada keputusan Loke bahawa prinsip ‘tanggungjawab keterbukaan’ tidak terpakai pada peringkat permohonan kebenaran.
Prinsip berkenaan menuntut pihak-pihak mendedahkan semua maklumat serta fakta relevan, termasuk yang boleh melemahkan kes mereka.
Najib sebelum ini memohon kebenaran memfailkan Terrirudin atas alasan beliau didakwa menyembunyikan dokumen tambahan diraja yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara dalam tahanan rumah.
“Apabila Yang Arif memutuskan tanggungjawab keterbukaan tidak terpakai, terutama di peringkat itu, kami berpendapat ia sepatutnya tetap terpakai, berdasarkan dua kes di Mahkamah Rayuan.
“Justeru, wujud pra-penentuan oleh Yang Arif terhadap isu yang menjadi salah satu tonggak utama dalam permohonan semakan kehakiman kami,” kata Shafee.
Namun, Loke menolak permintaan itu dengan menegaskan penemuannya sebelum ini hanya terbatas pada peringkat permohonan kebenaran.
“Pada peringkat itu, saya berpendapat tanggungjawab keterbukaan tidak timbul. Permohonan untuk memfailkan bekas peguam negara atas penghinaan mahkamah adalah berpunca daripada kedudukan yang diambil semasa permohonan kebenaran semakan kehakiman.
“Maka, penemuan saya berkaitan tanggungjawab keterbukaan perlu dilihat dalam konteks itu. Kini, kebenaran telah pun diberikan, saya rasa kita sudah melepasi peringkat itu.
“Jadi, isu kononnya penemuan saya boleh menyebabkan saya berat sebelah tidak patut timbul. Kita kini di peringkat substantif,” katanya.
Mahkamah menetapkan 24 Nov ini untuk pendengaran substantif.
Najib disabitkan kesalahan menyalahgunakan RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd dan menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.
Beliau mengemukakan petisyen pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kemudian mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.