Anak syarikat Petronas kalah rayuan pertikai paten O&G

Anak syarikat Petronas kalah rayuan pertikai paten O&G

Mahkamah Rayuan perintah Petronas Carigali bayar kos RM950,000 kepada pemilik paten, Kingtime International Ltd.

PETRONAS OIL RIG OCEAN
Mopu ialah pelantar minyak luar pesisir yang diubah suai untuk digunakan bagi pengeluaran minyak dan gas. (Gambar Petronas)
PUTRAJAYA:
Sebuah syarikat pemilik paten teknologi minyak dan gas (O&G) hari ini memenangi rayuan terhadap anak syarikat Petronas atas pelanggaran paten berkaitan penggunaan sebuah unit pengeluaran luar pesisir mudah alih (Mopu) yang ditempah daripada pihak ketiga.

Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2023 yang menolak saman Kingtime International Ltd terhadap Petronas Carigali Sdn Bhd atas dakwaan pelanggaran paten.

Keputusan hari ini juga menolak saman Petronas Carigali untuk membatalkan kesahan dua paten milik Kingtime.

Hakim Faizah Jamaludin berkata, Petronas Carigali terikat dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2018, yang mendapati bahawa Petrofac E&C Sdn Bhd, selaku pengeluar Mopu, telah melanggar paten Kingtime dan gagal dalam percubaannya untuk membatalkan kesahan paten tersebut.

Ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, Faizah berkata, penghakiman pada 2018 itu mengikat pihak-pihak terbabit dan mereka yang berkepentingan.

Beliau berkata, Kingtime berjaya membuktikan wujudnya hubung kait yang mencukupi antara Petronas Carigali dan Petrofac, berdasarkan kelakuan dan kontrak antara kedua-dua firma itu berhubung reka bentuk, kejuruteraan dan pembinaan Mopu yang digunakan di medan minyak Sepat, kira-kira 200km dari perairan Kuala Terengganu.

Mopu ialah sebuah pelantar minyak luar pesisir yang diubah suai untuk digunakan bagi pengeluaran minyak dan gas.

Faizah juga menyatakan, Petronas Carigali tidak dibenar melitigasi semula isu-isu mengenai sama ada paten Kingtime adalah sah dan jika Mopu di Sepat melanggarnya.

“Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam menolak saman Kingtime terhadap Petronas Carigali dan dalam membenarkan tindakan Petronas Carigali untuk membatalkan kesahan paten, yang memerlukan campur tangan peringkat rayuan,” katanya.

Hakim Lee Swee Seng, yang kini hakim Mahkamah Persekutuan, mempengerusikan panel itu bersama Hakim Choo Ka Sing.

Mahkamah Rayuan telah mengembalikan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi untuk taksiran ganti rugi dan memerintahkan Petronas Carigali untuk membayar kos RM950,000 kepada Kingtime.

Petronas Carigali turut diarah memulangkan semula kos RM800,000 yang telah dibayar oleh Kingtime selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2023.

Kingtime pertama kali memfailkan saman terhadap Petronas Carigali pada 2018 atas dakwaan pelanggaran patennya melalui penggunaan Mopu yang dikilangkan oleh Petrofac untuk medan minyak Sepat.

Berikutan itu, Petronas Carigali memfailkan saman berasingan untuk membatalkan kesahan paten Kingtime, yang dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi.

Dalam rayuannya, Kingtime berhujah bahawa penghakiman pada 2018 yang memutuskan bahawa Petrofac telah melanggar patennya dan gagal dalam usaha membatalkan kesahan paten tersebut, mengikat Petronas Carigali, memandangkan Petrofac telah ditauliahkan oleh Petronas Carigali untuk membina Mopu yang sama.

Peguam-peguam S Sivaneindiren, Nicholas Mark Pereira, Abu Bakar Isa Rahmat, Norhazira Abu Haiyan, Baharudeen Ariff, Siow San San dan Tey Zhi Pei mewakili Kingtime, manakala Petronas Carigali diwakili oleh Cyrus Das, Chew Kherk Ying, Raymond Tan dan Mak Ming Jie.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.