3 lelaki ditahan, curi mesin ATM emas kosong

3 lelaki ditahan, curi mesin ATM emas kosong

Ketua Polis Ampang Jaya Mohd Azam Ismail semua suspek ditahan kerana disyaki melarikan mesin berkenaan dengan menggunakan sebuah lori pada 23 Nov lalu.

azam ismail
Ketua Polis Ampang Jaya Mohd Azam Ismail berkata mesin itu tidak mempunyai jongkong emas kerana dikosongkan dan anggaran kerugian ialah RM60,000 melibatkan mesin terbabit. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang remaja kerana disyaki terbabit mencuri sebuah mesin pengeluaran automatik (ATM) emas di sebuah pasar raya di Ampang pada 23 Nov lalu.

Ketua Polis Ampang Jaya Mohd Azam Ismail berkata semua suspek berusia 17 hingga 41 tahun itu ditahan di sekitar ibu kota dan Kajang antara 26 Nov dan semalam, lapor Bernama.

Katanya, pada 23 Nov lalu, polis menerima aduan berhubung mesin ATM itu yang ditarik keluar menggunakan sebuah lori oleh individu tidak dikenali.

“Bagaimanapun mesin itu tidak mempunyai jongkong emas kerana telah dikosongkan dan anggaran kerugian ialah sekitar RM60,000 melibatkan mesin terbabit,” katanya.

Azam berkata, polis turut turut merampas sebuah lori daripada suspek yang disyaki digunakan dalam kejadian itu.

Katanya, ujian saringan air kencing ke atas suspek juga mendapati seorang daripada mereka positif dadah methamphetamine dan amphetamine.

“Suspek itu juga memiliki 54 rekod jenayah lampau dan tiga rekod dikehendaki atas kesalahan jenayah dan dadah,” katanya dan menambah lelaki itu kini direman selama empat hari bermula hari ini.

Azam berkata dua lagi suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.