
Ketua Penerangan Neow Choo Seong berkata, persepsi awam yang merasakan kerajaan tidak serius menangani isu membabitkan pemandu mabuk wajar ditangani sebaik mungkin.
“Pemuda MCA sedia menghulurkan khidmat bantuan guaman kepada mana-mana mangsa atau keluarga mangsa yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu mabuk.
“Ini termasuk kes kemalangan terbaru yang mengorbankan sepasang suami isteri setelah motosikal dinaiki mereka dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta dipercayai dipandu seseorang yang di bawah pengaruh alkohol,” katanya di Facebook.
Dalam kejadian 4 pagi itu, Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35, maut di lokasi kejadian selepas motosikal jenis Honda Vario dinaiki mereka dirempuh kereta dipandu suspek di Simpang empat lampu isyarat di Jalan Besar/Jalan Mesjid, Pasir Gudang.
Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak, berkata pemandu kereta Perodua Alza berkenaan dipercayai memandu bawah pengaruh alkohol melebihi paras ditetapkan.
Kemalangan itu menyebabkan lima anak pasangan terbabit iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, Muhammad Ikmal Danish Abdullah, 15, Nur Shahkira Mohd Ridzwan, 14, Nur Shahmira Mohd Ridzwan, 12, dan Nur Aisyah Humairah Mohd Ridzwan, 3, menjadi yatim piatu.
Mengulas lanjut, Neow berkata Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dipinda pada 2020 ketika bawah menteri pengangkutan ketika itu Wee Ka Siong perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menghukum pesalah.
Katanya, sebanyak sembilan kemalangan maut direkodkan akibat pemandu di bawah pengaruh alkohol, sekali gus menuntut tindakan proaktif dan tegas supaya kejadian sama tidak berulang.
“Sekiranya hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 15 tahun serta denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan masih tidak memberi kesan, Pemuda MCA mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan supaya meningkatkan lagi hukuman penjara menerusi pindaan Akta 333.
“Mungkin hukuman penjara minimum 15 tahun dan maksimum 20 tahun dapat memberi kesedaran orang ramai,” katanya.