
Nor Nadia Abdul Majid, 32, berkata jaminan bayaran bulanan sepanjang hayat itu membolehkannya ‘bernafas’ dan menumpukan perhatian kepada masa depan serta pendidikan anak-anak yang kini kehilangan ketua keluarga.
“Alhamdulillah, saya rasa sedikit lega dan bersyukur. Saya rasa suami betul-betul bertanggungjawab fikirkan keluarga…semua dia sediakan.
“Tadi saya tengok amaun (pencen), Alhamdulillah saya rasa bolehlah bernafas,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan faedah itu di kediamannya.
Ibu tiga anak itu turut menekankan kepentingan mencarum dengan Perkeso dan menggesa majikan tidak culas mendaftarkan pekerja mereka demi perlindungan masa hadapan.
Dalam pada itu, Nadia memaklumkan bercadang pulang ke kampung di Batu Kurau, Perak, selepas tamat tempoh edah dan mencari pekerjaan yang tidak mengabaikan perhatian terhadap anak-anak.
Terdahulu, Perkeso mengesahkan waris kepada Amirul Hafiz Omar, akan menerima faedah bulanan berjumlah RM2,888.17 yang akan dikongsi antara isteri dan anak-anaknya.
Isteri akan menerima bayaran tersebut sepanjang hayat, manakala bahagian untuk anak-anak diteruskan sehingga mereka berusia 21 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata kepatuhan majikan arwah iaitu syarikat TVH Malaysia dalam mencarum secara konsisten selama 15 tahun menjadi faktor utama waris layak menerima kadar pencen penuh.
“Arwah merupakan seorang pekerja yang setia dan majikannya sangat bertanggungjawab.
“Carumannya penuh tanpa sebarang kekurangan, sebab itu kita dapat sediakan bayaran pencen penuh kepada waris bagi memastikan masa depan keluarga ini terbela,” katanya.
Selain pencen bulanan, Perkeso turut menyerahkan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM3,000 serta jaminan bantuan pinjaman pendidikan kepada anak arwah apabila mereka melangkah ke peringkat pengajian tinggi kelak.