Pakar persoal konsistensi hukuman mati khusus kepada pemandu mabuk

Pakar persoal konsistensi hukuman mati khusus kepada pemandu mabuk

Pakar keselamatan jalan raya berkata logik di sebalik hukuman mati bagi kesalahan memandu ketika mabuk perlu juga terpakai kepada semua bentuk pemanduan bahaya.

kemalangan mabuk
Law Teik Hua dari UPM berkata, hukuman lebih berat semata-mata mungkin tidak berkesan mengurangkan kes kematian jalan raya. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang pakar keselamatan jalan raya berkata sebarang langkah mengenakan hukuman mati terhadap pemandu mabuk dalam nahas maut perlu diperluas kepada pemanduan melulu lain sehingga mengakibatkan kematian.

Law Teik Hua dari pusat penyelidikan keselamatan jalan raya Universiti Putra Malaysia, berkata alasan dikemukakan itu perlu terpakai secara konsisten merangkumi semua bentuk pemanduan bahaya, mengambil kira berkongsi corak tingkah laku dan akibat sama.

“Satu-satu pemandu secara sedar terjerumus dalam tingkah laku yang mempunyai kebarangkalian tinggi untuk menyebabkan malapetaka,” katanya sambil menambah perkara itu sama rata terpakai kepada pemandu di bawah pengaruh dadah, pelumba haram, dan mereka yang memandu pada kelajuan melampau.

“Jika dilihat dari perspektif sistem, apa yang penting adalah tahap keterjangkaan bahaya tersebut, bukannya punca gangguan itu sendiri,” katanya kepada FMT.

Law juga mempersoalkan sama ada hukuman lebih berat semata-mata akan membawa pengurangan kes kematian jalan raya.

“Keseluruhan bukti menunjukkan tahap beratnya hukuman itu sendiri tidaklah begitu penting dalam jangka masa panjang, melainkan ia digabungkan dengan tahap kepastian yang tinggi serta kepantasan penguatkuasaan.

“Pemandu lebih dipengaruhi oleh kemungkinan mereka akan dikesan (ditangkap), bukannya disebabkan tahap beratnya sesuatu hukuman itu.”

Pada Ahad, penghantar p-hailing Amirul Hafiz Omar terbunuh di Klang susulan dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki yang menurut polis, memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol.

Sehari selepas kejadian, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyeru kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan hukuman mati terhadap pemandu mabuk yang terlibat nahas maut, dengan menyatakan hukuman sedia ada gagal mengekang kesalahan sedemikian daripada terus berlaku.

Ketika ini, Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 menetapkan mereka disabitkan kesalahan menyebabkan kematian semasa memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah berhadapan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000, dengan hukuman yang lebih berat bagi pesalah berulang.

Pemandu tersebut, R Saktygaanapathy, didakwa atas pertuduhan membunuh, dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan berasingan bagi kesalahan memasukkan dadah dalam badan sendiri.

Langkah lain lebih berkesan

Law berkata, terdapat langkah lain lebih berkesan demi mengurangkan kes memandu di bawah pengaruh alkohol, seperti ujian pernafasan rawak, penguatkuasaan yang jelas kelihatan, kamera kelajuan, dan program pemulihan pesalah.

Katanya, model ‘kepastian-kepantasan-pencegahan’ diyakini lebih berkesan, berbanding pendekatan ‘hukuman melampau’.

Beliau berkata, ada hujah kukuh untuk rangka kerja undang-undang yang lebih konsisten, yang memberikan tumpuan kepada hasil dan kebertanggungjawaban berbanding jenis kesalahan tertentu semata.

“Memandu dalam keadaan mabuk, memandu di bawah pengaruh dadah, berlumba, dan memandu dengan kelajuan melampau semuanya harus diletakkan di bawah tahap yang sama serius.

“Ini bukan sahaja akan meningkatkan konsistensi dan kadar keseimbangan hukuman, malah dapat menyelaraskan undang-undang dengan lebih dekat dengan sains keselamatan jalan raya moden,” katanya.

Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Wong Shaw Voon, berkata walaupun memandu dalam keadaan mabuk melibatkan pilihan sedar dan patut menerima kesan yang serius, ia tidak boleh dibandingkan dengan tindakan keganasan yang dirancang terlebih dahulu.

Wong berkata, keselamatan jalan raya perlu ditangani melalui sistem meluas merangkumi pemandu, kenderaan dan infrastruktur, berbanding hanya memberi tumpuan kepada satu-satu tingkah laku sahaja.

“Kita memerlukan pendekatan sistematik, bukan hanya menyasarkan satu kumpulan atau satu situasi sahaja,” katanya.

Beliau menambah, penguatkuasaan, teknologi, dan kesedaran awam semuanya memainkan peranan dalam mengurangkan risiko.

Namun, akhirnya pemandu mestilah membuat pilihan bertanggungjawab, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.