
Turut didakwa anak bekas pengasas Al-Arqam Mohammad Adib At-Tamimi Asaari, 32, dan 19 individu lain.
Mereka adalah Mohd Shukri Mohd Noor, 53; Muhammad Afdaluddin Latif, 34; Mohamad Sayuti Omar, 35; Mohd Fazil Md Jasin, 57; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 34; Mokhtar Tajuddin, 60; Muhammad Fajrul Islam Khalid, 28; Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 34; Shuhaimi Mohamed, 56; Hasnan Abd Hamid, 53; dan Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 51.
Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 27; Nur Jannah Omar, 32; Hamimah Yakub, 72; Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 44; Nurul Jannah Idris, 28; Siti Salmiah Ismail, 57; Siti Hajar Ismail, 51; dan Mahani Kasim, 54.
Semua 13 lelaki dan sembilan wanita itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di depan Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun, menurut Berita Harian.
Mereka didakwa mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).
Tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang GISBH di Jalan Desa Bandar Country Homes, Rawang, pada Oktober 2020 hingga 11 Sept lalu.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes Sosma bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mahkamah menetapkan 23 Dis ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Razali Che Ani, Nazran Mohd Sham, Lina Hanini Ismail dan Siti Hajar Mat Radzi.
Peguam Rosli Kamaruddin yang mengetuai barisan pembelaan mewakili semua tertuduh, memohon panduan daripada mahkamah mengenai soal jaminan kerana pertuduhan kes akan dibawa ke Mahkamah Tinggi.
Hakim memaklumkan urusan jaminan akan dibuat di Mahkamah Tinggi.
Pada 10 Okt lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zin memaklumkan pemimpin tertinggi GISBH itu antara 58 individu ditahan semula mengikut akta itu.
Selain itu, sebanyak 35 individu masih dalam tahanan reman, 273 orang dijamin, 37 individu dibebaskan tanpa syarat, dua diserahkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan seorang lagi kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran.
Sejak Op Global fasa pertama bermula awal September, sejumlah 415 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan manakala 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun diselamatkan polis.