Sebar berita palsu harga minyak, suri rumah mengaku tak salah

Sebar berita palsu harga minyak, suri rumah mengaku tak salah

Siti Nor Sayikilla Mohd Azhar dibenar ikat jamin RM4,000 dengan sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 4 Jun ini.

kompleks mahkamah sepang
Siti Nor Sayikilla Mohd Azhar, 31, ada memohon kepada Mahkamah Sesyen Sepang agar ikat jamin dikurangkan kepada nilai minima RM500 kerana hanya suri rumah dan suami bekerja kampung. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Suri rumah menjadi individu pertama didakwa menyebarkan berita palsu berkait kenaikan harga bahan api selepas dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang.

Siti Nor Sayikilla Mohd Azhar, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan Threads melalui akaun ‘@cek_apple95’ dan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya, lapor Kosmo.

Kandungan itu telah yang dilihat pada 31 Mac lalu lebih kurang 4:00 petang di Menara SKMM 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan 4 Jun ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azmir Mohd. Razali, manakala tertuduh diwakili peguam, Rafique Rashid Ali.

Terdahulu, Azmir memohon wang jaminan ditetapkan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun Rafique memohon jaminan paling minima diberikan iaitu RM500.

Rafique berkata, anak guamnya adalah seorang suri rumah dan mempunyai dua anak, di mana seorang daripadanya Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan serta suami yang bekerja kampung.

Tertuduh bersama suami juga turut menanggung abang ipar yang juga OKU.

Sebelum itu, Ahmad Fuad menegaskan, jumlah jaminan setiap kes ditetapkan berdasarkan keseriusan kes serta kepentingan untuk membendung perbuatan seumpama itu daripada berleluasa dalam masyarakat.

Katanya, undang-undang sedia ada tidak boleh dilenturkan semata-mata untuk memberi kelonggaran kepada tertuduh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.