Suri rumah didakwa seludup 24 migran Indonesia

Suri rumah didakwa seludup 24 migran Indonesia

Umi Kalsum Omar Noor Balasubramaniam bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

Umi Kalsum Omar
Tertuduh, Umi Kalsum Omar Noor Balasubramaniam (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seri Manjung hari ini atas dua pertuduhan menjalankan aktiviti penyeludupan 24 migran warga Indonesia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seri Manjung hari ini atas dua pertuduhan menjalankan aktiviti penyeludupan 24 migran warga Indonesia pada awal bulan ini.

Tertuduh, Umi Kalsum Omar Noor Balasubramaniam, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azizah Ahmad, menurut Bernama.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa menyeludup lapan lelaki dan seorang wanita warga Indonesia kira-kira 3.30 pagi di tepi jalan Batu 11 Segari dalam daerah Manjung pada 4 April lepas.

Pada tarikh sama, dia juga didakwa menyeludup 11 lelaki dan empat wanita warga Indonesia di sebuah rumah di Jalan Segari, Batu 12 Segari kira-kira 4 pagi.

Dalam prosiding sama, seorang lelaki warga Indonesia Theodurus Seran, 30, mengaku bersalah atas dua pertuduhan menjalankan aktiviti penyeludupan 15 migran warga Indonesia.

Mengikut pertuduhan, dia yang bertindak sebagai penjaga rumah penampungan, didakwa menyeludup 10 lelaki dan lima wanita warga Indonesia pada lokasi dan tarikh yang sama.

Semua dakwaan dibuat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (AKTA 670), yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amal Aziemah Abd Kohar manakala Umi Kalsum diwakili peguam Mohamad Zaidi Othman dan Theodurus pula tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Amal Aziemah tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Zaidi bagaimanapun merayu dibenarkan jaminan kerana anak guamnya mempunyai lima anak manakala suaminya warga INdia yang bekerja sebagai guru mengaji tanpa pendapatan tetap.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Mei bagi tarikh sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.