
Mengikut pertuduhan, tertuduh, Mohd Azwan Muhammad, 41, didakwa membunuh Muhammad Ishak, 83, sehingga menyebabkan kematian di sebuah rumah di Kampung Baung Bayam, Kota Bharu, pada 10.30 pagi pada 20 April lalu.
Menurut Harian Metro, tiada pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Azwan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun sehingga 40 tahun serta sebatan tidak lebih 12 kali sekiranya tidak dihukum mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nadzir Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Tengku Shazuan Tengku Sarifuddin dan Ahmad Nizam Mohamed.
Terdahulu, Nadzir memohon supaya tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani pemeriksaan psikiatri, manakala laporan kimia serta bedah siasat belum diterima.
Mahkamah kemudiannya mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk penilaian psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Mahkamah juga menetapkan 30 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, dilaporkan lelaki warga emas meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II akibat parah di kepala selepas disyaki dipukul anak lelakinya.