Bekas jurutera IT didakwa miliki 12 kad pengenalan palsu, dadah

Bekas jurutera IT didakwa miliki 12 kad pengenalan palsu, dadah

Aman Rasid bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Tertuduh, Aman Rasid, 39, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Besut hari ini atas pertuduhan memiliki 12 kad pengenalan palsu, minggu lepas. (Gambar X JKR Besut)
JERTIH:
Seorang bekas jurutera teknologi maklumat (IT) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Besut hari ini atas pertuduhan memiliki 12 kad pengenalan palsu, minggu lepas.

Aman Rasid, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurliyana Md Zukri.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki 12 keping kad pengenalan palsu di sebuah rumah di Kampung Alor Lintang, Besut kira-kira 10.05 malam pada 23 April lepas.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Peraturan 25(1) (e) Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam pertuduhan berasingan, Aman bersama rakannya, Mohd Aiman Musa, 35, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat anggaran 7.11 gram pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta sebatan tidak kurang tiga dan tidak lebih sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Aman diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan memiliki kad pengenalan palsu.

Bagi pertuduhan dadah pula, kedua-dua tertuduh dibenarkan diikat jamin RM3,800 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 2 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Najah Azhar manakala kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Che Nooraidawati Che Deraman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.