Layanan keras tahanan Rohingya, imigresen tunggu laporan penuh EAIC

Layanan keras tahanan Rohingya, imigresen tunggu laporan penuh EAIC

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban sedia kenakan tindakan keras terhadap pegawainya sekiranya ada unsur kekerasan dan penderaan.

Penemuan EAIC mendapati insiden 131 tahanan Rohingya melarikan diri berlaku susulan isu kekerasan dan penderaan ketika di Langkawi, sebelum dipindah ke depot sementara di Bidor.
PETALING JAYA:
Imigresen sedang menunggu laporan penuh daripada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung insiden 131 tahanan Rohingya melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor (DISB) pada Februari kerana kekerasan dan penderaan.

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban, berkata pihaknya mengambil maklum dapatan EAIC dan memandang serius penemuan hasil siasatan itu yang dilakukan beberapa pegawai imigresen pada 2020 dan 2021.

Katanya, imigresen menunggu laporan penuh berkenaan bagi tindakan lanjut.

“Imigresen tidak akan berkompromi terhadap apa jua bentuk penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana pegawai.

“Sekiranya didapati terdapat unsur-unsur kekerasan dan penderaan, pihak imigresen akan mengambil tindakan keras terhadap pegawai-pegawai tersebut berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menegaskan pengurusan depot tahanan sentiasa mematuhi Peraturan Piawaian Minima untuk Layanan Terhadap Tahanan (Peraturan Mandela) dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) – Penjagaan Kesihatan Tahanan.

Selain itu, pengurusan depot juga merangkumi Peraturan-Peraturan Imigresen (Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen) 2003 dan Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Mengenai Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen.

Awal hari ini, EAIC kekerasan dan penderaan terhadap tahanan Rohingya itu berlaku antara 2020 hingga 2021 ketika mereka ditempatkan di Kem Wawasan Langkawi, sebelum dipindahkan ke beberapa depot imigresen, termasuk DISB.

EAIC juga turut memaklumkan pihaknya telah membuat laporan polis mengenai isu kekerasan dan penderaan terhadap tahanan etnik Rohingya di DISB dan Kem Wawasan Langkawi agar siasatan lanjut dijalankan.

Suruhanjaya itu menyenaraikan tiga lagi faktor yang menjadi punca tahanan melarikan diri, iaitu ketidakpekaan pegawai, kelemahan prasarana, dan kegagalan dalam pemantauan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.