
Mereka yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul, Turkiye pada Isnin, 11.20 malam waktu tempatan, transit di Dubai, Emeriah Arab Bersatu sebelum meneruskan perjalanan pulang ke tanah air dengan penerbangan Emirates EK342 yang mendarat pada 10.07 malam di KLIA.
Ketibaan mereka disambut Menteri Luar Mohamad Hasan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, wakil Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ratusan pendukung Palestin dengan laungan ‘Free Palestin’ dan ‘Allahuakbar’ sambil mengibarkan bendera Palestin.
Tangisan kegembiraan, air mata kesyukuran dan pelukan erat antara ahli keluarga serta rakan seperjuangan mengiringi detik-detik pertemuan tersebut, membawa tamatnya episod mencemaskan apabila mereka ditahan tentera Israel selepas kapal-kapal misi GSF dipintas di perairan zon merah di Laut Mediterranean pada 2 Okt, sebelum dibawa ke Pelabuhan Ashdod, Israel.
Semua sukarelawan terbabit ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya Nur Hazwani Afiqah (kapal Hio); Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga) serta Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma).
Turut berada dalam misi itu Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius); Razali Awang (kapal Inana); pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali sebagai Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar dan Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami (Haroqs), Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).
Turut kembali empat aktivis yang menaiki kapal pemerhati Summertime-Jong iaitu Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman; Mazian, Serieffa dan Ariff Budiman.
Lima peguam yang juga aktivis undang-undang hak asasi manusia dari Malaysia turut pulang iaitu Azril Mohd Amin, Fahmi Abd Moin, Dir Kheizwan Kamaruddin, Ahmad Nazrin Abu Bakar dan Luqman Mazlan.
Pada 2 Okt, rejim Israel memintas semua 42 kapal misi kemanusiaan GSF ke Gaza dan menahan 495 aktivis, termasuk 23 aktivis Malaysia yang kemudian dibebaskan secara berperingkat bermula 4 Okt.
Kejayaan membawa pulang semua 23 aktivis Malaysia memperlihatkan kecekapan diplomasi rentas sempadan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang melibatkan rundingan bersama Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani; Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani; Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Ketua Keselamatan Negara Turkiye Dr Ibrahim Kalin.
Proses pembebasan sukarelawan Malaysia juga melibatkan koordinasi erat pada peringkat antarabangsa, termasuk perbincangan menteri luar dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio dan kerajaan Jordan serta Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bersama Utusan Khas Amerika Syarikat ke Timur Tengah Steve Witkoff.
Selepas dibawa keluar dari Israel pada Sabtu lepas menggunakan pesawat komersial Turkish Airlines yang diurus dan ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Turkiye, semua 23 sukarelawan Malaysia menjalani pemeriksaan kesihatan di Istanbul.
Selain sukarelawan Malaysia, antara peserta GSF yang dilepaskan ialah aktivis alam sekitar Greta Thunberg, wartawan Turkiye Ersin Celik, ahli Parlimen Eropah Rima Hassan serta aktivis GSF dari pelbagai negara.
Setakat ini, masih terdapat hampir 140 peserta GSF masih ditahan termasuk 13 daripadanya merupakan rakyat Brazil.
Misi GSF yang disertai kira-kira 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia, belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.
Semua sukarelawan Malaysia dijangka bersama perdana menteri dan Jemaah Menteri menghadiri Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 8 malam, esok.
Ia suatu himpunan rakyat bagi menyuarakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.