Rakyat Malaysia ditahan cuba seludup rokok tanpa cukai ke Singapura

Rakyat Malaysia ditahan cuba seludup rokok tanpa cukai ke Singapura

Motosikal suspek ditahan di pusat pemeriksaan Woodlands selepas dikesan Pusat Penyelarasan Sasaran Bersepadu ICA.

seludup rokok singapore
Lebih 400 bungkus rokok tanpa cukai yang disembunyikan dalam bahagian sisi fairing motosikal berkenaan ketika pemeriksaan pada 30 Sept lalu. (Gambar ICA)
PETALING JAYA:
Seorang rakyat Malaysia ditahan oleh Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura pada 30 Sept kerana cuba menyeludup rokok tanpa cukai ke republik itu menggunakan motosikal.

Dalam satu video di Facebook, ICA berkata suspek yang menunggang motosikal dengan nombor pendaftaran Malaysia ditahan di pusat pemeriksaan Woodlands untuk pemeriksaan menyeluruh selepas dikesan oleh Pusat Penyelarasan Sasaran Bersepadu agensi itu.

Pegawai menemui lebih 400 bungkus rokok tanpa cukai yang disembunyikan dalam beg plastik hitam di bahagian sisi fairing motosikal berkenaan.

Menurut laporan The Straits Times, ICA menggunakan data analitik untuk menilai pelancong, kenderaan dan kargo sebelum ketibaan mereka di Singapura, bagi membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti individu berisiko tinggi untuk pemeriksaan lanjut.

Kes tersebut telah dirujuk kepada kastam Singapura untuk siasatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.