‘Tak dengar habis’, kata MB Perlis berkait rakaman mirip suara dipercayai hina Raja

‘Tak dengar habis’, kata MB Perlis berkait rakaman mirip suara dipercayai hina Raja

Mohd Shukri Ramli enggan komen lanjut selepas rakaman mirip suaranya tersebar di TikTok.

shukri ramli
Ketua Polis Perlis Muhammad Abdul Halim, berkata kes rakaman suara mirip Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli kini diserahkan kepada Bukit Aman. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Mohd Shukri Ramli sedia bekerjasama dengan polis jika diperlukan bagi membantu siasatan berkait video mengandungi rakaman audio mirip suaranya yang didakwa mengandungi kenyataan fitnah, penipuan, dan penghinaan ke atas Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis.

Katanya, buat masa ini beliau belum dipanggil pihak berkuasa.

“Saya sedia beri kerjasama untuk membantu siasatan. Namun, buat masa ini polis masih belum panggil lagi.

“Berhubung penularan audio itu, saya tidak boleh komen kerana saya tidak dengar habis lagi rakaman itu. Beri saya masa untuk dengar audio dulu, barulah saya boleh komen,” katanya menurut Harian Metro.

Shukri yang juga Adun Sanglang, berkata demikian ketika hadir Program Mai Kita Sembang Masa Depan Perlis dan Penyampaian Elaun Bulanan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Perlis di Dewan Warisan, Kangar.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis Muhammad Abdul Halim mengesahkan kes itu kini diserahkan kepada Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

“Kita di Perlis akan bantu sekiranya diperlukan untuk melengkapkan siasatan,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Arau Ahmad Mohsin Md Rodi, berkata laporan berkait rakaman suara itu yang tersebar di TikTok berkenaan dibuat Setiausaha Pemuda Umno Arau, Hazalan Haron, kira-kira 5.30 petang semalam.

Katanya, kenyataan dikeluarkan dalam rakaman tersebut dipercayai mengandungi unsur fitnah, penipuan serta penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis.

Dalam kenyataannya, beliau berkata kandungan rakaman itu telah disebarkan secara terbuka menerusi beberapa platform media sosial, dan mengandungi maklumat yang tidak benar serta boleh menjejaskan maruah, reputasi dan Institusi Diraja Perlis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.