
Pasukan itu akan diketuai Timbalan Pengerusi EAIC, Prasad Sandosham Abraham dan dianggotai ahli lain suruhanjaya iaitu Siti Zainab Omar, Yusof Ismail dan Ong Lam Kiat, serta pegawai kanan daripada Bahagian Operasi EAIC.
“Mesyuarat memutuskan agar EAIC menjalankan siasatan menyeluruh terhadap aspek integriti, tadbir urus dan pematuhan prosedur yang berkaitan dalam pengurusan serta pengesahan dokumen pemain-pemain berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, EAIC memohon kerjasama penuh semua agensi dan pihak berkaitan sepanjang proses siasatan dijalankan, memandangkan isu ini melibatkan kepentingan awam dan integriti negara di mata dunia.
Bulan lalu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengambil tindakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan selepas mendapati dokumen dihantar bagi mengesahkan kelayakan mereka untuk beraksi dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun adalah palsu.
Pemain itu adalah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
FAM didenda 350,000 franc Swiss (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain dikenakan denda 2,000 franc Swiss (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan.
FAM memfailkan rayuan selepas menerima penghakiman penuh badan bola sepak dunia itu pada 7 Okt.
Bagaimanapun, diumumkan semalam Fifa menolak rayuan itu dan mengekalkan semua hukuman.
Pasukan bola sepak kebangsaan juga akan dipotong mata dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 yang sedang berlangsung.
Susulan keputusan itu, Pemangku Presiden FAM, Yusoff Mahadi, berkata pihaknya akan menulis kepada Fifa untuk mendapatkan alasan penuh keputusan sebelum membawa kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).