Peniaga rugi RM500,000 ditipu pelaburan resort di Pulau Perhentian

Peniaga rugi RM500,000 ditipu pelaburan resort di Pulau Perhentian

Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor berkata peniaga itu dijanjikan pulangan RM394,020 setiap tahun.

Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor berkata mangsa menyedari ditipu selepas masih belum menerima keuntungan yang dijanjikan selepas beberapa tahun. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Seorang peniaga mengalami kerugian RM500,000 selepas ditipu pelaburan berkaitan pembangunan resort yang tidak wujud di Pulau Perhentian kira-kira empat tahun lalu.

Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor berkata pada 23 Ogos 2020, peniaga berumur 44 tahun itu ditawarkan menyertai satu usaha sama untuk membangunkan sebuah resort di pulau berkenaan oleh sebuah syarikat.

Beliau berkata peniaga yang berasal dari Marang itu dijanjikan pulangan RM394,020 setiap tahun, selagi menyertai pelaburan berkenaan, dengan modal RM500,000.

“Mangsa yang tertarik dengan keuntungan besar bersetuju dan menandatangani perjanjian dengan membuat pembayaran modal ke akaun yang diarahkan secara berperingkat sehingga mencapai jumlah RM500,000,” katanya dalam kenyataan.

Azli berkata selepas beberapa tahun menunggu peniaga itu masih belum menerima keuntungan yang dijanjikan, manakala suspek wanita yang pada awalnya memperkenalkan diri sebagai ‘Janah’, gagal dihubungi.

Peniaga itu merasa tertipu apabila semakan yang dibuat dengan pihak berkaitan mendapati bahawa tidak ada pembangunan resort di Pulau Perhentian seperti yang didakwa suspek.

Peniaga itu membuat laporan polis baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.