Tambah kerusi Parlimen: Jabatan Peguam Negara diarah bincang dengan Sabah, Sarawak

Tambah kerusi Parlimen: Jabatan Peguam Negara diarah bincang dengan Sabah, Sarawak

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan komited lunas perkara termaktub dalam MA63.

Anwar Ibrahim berkata, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sabah dan Sarawak antara agenda kerajaan untuk diselesaikan.
PETALING JAYA:
Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) memutuskan Jabatan Peguam Negara mengadakan perbincangan bersama Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah dan Sarawak bagi meneliti semula tuntutan pertambahan ahli Dewan Rakyat di Malaysia Timur.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan komited memastikan perkara termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diselesaikan mengikut Perlembagaan dan kerangka undang-undang sedia ada.

“Tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen mewakili negeri Sabah dan Sarawak juga merupakan sebahagian daripada agenda yang telah dibincangkan dalam Mesyuarat MTPMA63 pada Sept lalu,” katanya menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat.

Terdahulu, Premier Abang Johari Openg menyeru dikembalikan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah bagi menjamin ‘perlindungan’ ke atas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, pengembalian 35% kerusi Parlimen itu penting bagi mengelak berlaku pindaan Perlembagaan, memandangkan kerusi Parlimen ketika ini melebihi dua pertiga ada di Semenanjung.

Semenanjung mempunyai 165 kerusi Parlimen, manakala Sarawak diperuntuk 31, Sabah (25), dan Labuan (1). Dua pertiga merujuk 148 sokongan bagi meluluskan pindaan ke atas Perlembagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.