Usaha tuntut hak Sabah lebih realistik dengan GRS, kata pemimpin

Usaha tuntut hak Sabah lebih realistik dengan GRS, kata pemimpin

Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah, Razali Razi, kata 11 tuntutan dikemuka sebahagiannya sudah selesai, diiktiraf serta dilaksanakan secara berfasa.

GRS dikemudi Ketua Menteri Hajiji Noor ambil langkah-langkah terukur dalam menuntut hak Sabah agar Sabah ‘berdiri lebih kuat’. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Usaha menjayakan tuntutan Sabah lebih realistik apabila kerajaan dikemudi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berdasarkan pada kemajuan 11 tuntutan yang telah dan sedang dirundingkan dengan kerajaan persekutuan, menurut seorang pemimpinnya.

Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah, Razali Razi, berkata 11 tuntutan dikemuka sebahagiannya sudah selesai, diiktiraf serta dilaksanakan secara berfasa, pada masa sama GRS memastikan rundingan tidak lagi boleh ‘dipatah balik oleh sesiapa selepas ini’.

Razali menambah kemajuan ini membezakan GRS berbanding pesaingnya. “Inilah beza Sabah hari ini bersama GRS, kita kurang drama, lebih kerja dan kurang gimik tapi lebih hasil,” menurut kenyataan di Facebook.

Tuntutan merangkumi kawal selia gas dan tenaga, pegangan ekuiti dalam Petronas PFLNG 3 Sdn Bhd, penyelarasan hasil petroleum, pengagihan kuasa, geran khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan pemindahan kuasa tertentu, antara lain.

Antara yang disorot Razali termasuk penubuhan SESB Sabah, pengambilalihan 25% ekuiti dalam Petronas PFLNG 3 melalui SMJ Energy, manakala semakan semula formula perkongsian hasil petroleum sedang berjalan, begitu juga perundingan kuasa pendidikan. Turut disentuh fasa II semakan kadar geran khas untuk Sabah, dan kastam dan kuasa-kuasa eksais yang sebahagian perkara tertentu sudah disejajarkan.

“Kita bukan lagi berada dalam fasa ‘tuntut untuk tepukan’ atau ‘marah untuk content politik’. Kita sekarang bergerak dalam fasa deliverable pelaksanaan ‘tuntut untuk keputusan’, bukan tuntut untuk populariti,” katanya.

Razali berkata usaha ini memastikan Sabah ‘berdiri lebih kuat’ dan ‘lebih berdaulat dalam kuasa ekonomi’ melibatkan langkah-langkah terukur.

“Inilah perbezaan paling besar, kita bukan hanya menuntut, kita memastikan rundingan itu bergerak, terikat, direkod dan tidak lagi boleh dipatah balik oleh sesiapa selepas ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.