
Sambil melahirkan kekesalan terhadap insiden itu yang melibatkan dua wanita, Walid Abu Ali berkata ia tidak mencerminkan tingkah laku rakyat Palestin secara umum.
Menurut beliau, kakitangan kedutaan telah melawat pusat berkenaan dan bertemu pegawai keselamatan serta rakyat Palestin yang terlibat untuk menyelesaikan perkara itu.
“Saya mengecam apa yang berlaku, dan ia tidak sepatutnya berlaku lagi,” katanya.
Wisma Transit adalah kemudahan di bawah Kementerian Pertahanan (Kementah)yang digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk menyediakan penginapan.
Menurut Walid, individu terlibat bertindak secara emosi kerana kecewa tidak dibenarkan keluar dari pusat itu atas sebab keselamatan.
Walid berkata beliau telah bertemu pegawai Kementah pada pagi Jumaat untuk membincangkan keadaan itu.
“Isu ini telah dibincangkan dan diselesaikan. Apa yang berlaku adalah salah, dan kami tidak mahu memanjangkannya.
“Bagi pihak Palestin, saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.
Di tengah-tengah keganasan Israel di Gaza, Malaysia membawa 40 rakyat Palestin yang cedera untuk rawatan di Malaysia, bersama 80 saudara mereka dari Kaherah, pada 16 Ogos lepas.
Pesakit-pesakit berkenaan sedang menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur, manakala saudara mereka yang tidak cedera ditempatkan di lokasi transit yang disediakan oleh Kementah.
Duta menyatakan penghargaan beliau kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kerajaan, serta rakyat Malaysia atas sokongan kuat kepada perjuangan Palestin.