Kontroversi Kg Sg Baru boleh dielak jika tadbir urus betul, kata Azam

Kontroversi Kg Sg Baru boleh dielak jika tadbir urus betul, kata Azam

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata penduduk tidak faham sepenuhnya kesan apabila setuju untuk bangunkan semula tanah mereka.

Azam Baki Ketua Pesuruhjaya SPRM
Ketua SPRM Azam Baki persoal jika penduduk hanya ditunjuk pampasan besar, tapi tidak diberi penjelasan menyeluruh.
SEPANG:
Kontroversi berhubung pembangunan semula Kampung Sungai Baru boleh dielakkan sekiranya tadbir urus dan perancangan yang betul dilaksanakan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Azam berkata, penduduk tidak benar-benar memahami kesannya apabila mereka bersetuju untuk membangunkan semula tanah mereka, sehingga ramai yang ‘keliru’ dan ‘menghadapi kesusahan’.

Bercakap pada Persidangan Penyelidikan Rasuah, Integriti dan Tadbir Urus di sini hari ini, beliau berpendapat penduduk tidak diberi panduan yang sewajarnya, sebaliknya hanya diberi tumpuan kepada pampasan.

“Pembangunan semula Kampung Sungai Baru tidak dirancang dengan betul dan penduduk terjejas tidak benar-benar memahami kesannya apabila mereka bersetuju untuk membangunkan tanah mereka.

“Mungkin penduduk diberi gambaran mengenai pampasan wang yang besar, tetapi tidak ditunjukkan gambaran menyeluruh. Ini menyerlahkan kelemahan dalam komunikasi.

“Kurangnya pemahaman penduduk … serta ketiadaan tadbir urus telah membawa kepada kesusahan (bagi penduduk). Banyak perkara yang tidak kena, terutamanya dari segi perancangan dan strategi, yang memang tiada.”

Kekecohan tercetus di Kampung Sungai Baru, apabila pihak berkuasa mengusir penduduk dari 37 buah rumah pada 11 Sept, dengan 14 pemilik rumah enggan mengosongkan kediaman mereka.

Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman telah terkena objek di kepala yang didakwa dibaling oleh seorang daripada kumpulan yang membantah pengusiran tersebut.

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata pihak berkuasa melaksanakan writ pengosongan yang dikeluarkan oleh mahkamah terhadap 37 buah rumah teres berkenaan.

Polis menahan tiga suspek berhubung insiden itu. Tujuh lagi ditahan pada 13 Sept, dengan polis menyatakan bahawa mereka bukan penduduk tetapi pemimpin dan ahli sebuah ‘pertubuhan’.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam menitahkan isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.

Baginda bertitah, tiada halangan jika kawasan Kampong Bharu, juga dikenali sebagai Kampung Baru hendak dibangunkan seiring peredaran zaman namun syaratnya harus jelas serta berpihak kepada orang Melayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.