7 suspek cetus provokasi di Kg Sg Baru, cederakan polis ditahan

7 suspek cetus provokasi di Kg Sg Baru, cederakan polis ditahan

Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata setakat ini seorang telah didakwa dan dikenakan denda RM1,500 selepas mengaku bersalah.

fadil marsus
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata pihaknya masih lagi mengesan beberapa individu lain terlibat selain membuka tiga kertas siasatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan tujuh lelaki yang disyaki terlibat melakukan provokasi ketika proses pelaksanaan writ saman milikan kosong kediaman di Kampung Sungai Baru, kelmarin.

Mereka yang berusia antara 15 hingga 52 tahun ditahan disyaki terbabit dalam kejadian itu hingga mencederakan Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata salah seorang suspek setakat ini telah didakwa di mahkamah semalam dan dikenakan denda RM1,500 selepas mengaku bersalah.

“Enam lagi individu masih ditahan reman bagi membantu siasatan.

“Kita juga sedang mengesan beberapa lagi individu yang terlibat dalam kes mencetuskan provokasi dan kekecohan,” katanya dalam sidang media tengah malam tadi, menurut Berita Harian.

Mengulas lanjut, beliau berkata semakan polis mendapati semua suspek bukan penduduk Kampung Sungai Baru.

“Kesemua suspek yang ditahan ini dikesan bukanlah beralamat di Kampung Sungai Baru dan kita percaya mereka mempunyai kaitan dengan bantahan terhadap proses pelaksanaan pengosongan kediaman.

“Kita telah membuka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 353 dan Seksyen 324 kanun yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, Fadil berkata Sulizmie berada dalam keadaan baik dan masih menerima rawatan.

“Kita meminta orang ramai menyalurkan maklumat atau video berkaitan insiden kekecohan itu bagi membantu siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.