2 ditahan depan Kedutaan AS bebas dengan jaminan polis

2 ditahan depan Kedutaan AS bebas dengan jaminan polis

Semalam mereka ditahan kerana menghalang anggota polis menjalankan tugas.

Tangkap layar video menunjukkan dua lelaki ditahan diberi amaran oleh anggota polis supaya tidak mengulangi kesalahan.
PETALING JAYA:
Dua lelaki yang ditahan selepas berlaku kekecohan di depan Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) semalam dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam video dikongsi kepada FMT oleh Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus, kedua-dua mereka dilihat dimaklumkan oleh seorang anggota mengenai syarat jaminan, serta diberi amaran tidak mengulangi kesalahan itu.

“Saya nak awak faham, saya tidak kisah awak buat perhimpunan, itu tiada masalah. Tetapi apabila ada provokasi terhadap polis, itu jadi masalah.

“Saya orang Islam dan Melayu, saya juga sokong Palestin. Tetapi bukan dengan tindakan seperti ini,” kata anggota polis itu.

Semalam, Fadil berkata suspek masing-masing berusia 23 dan 32 tahun ditahan kerana menghalang anggota polis menjalankan tugas.

Beliau berkata, keadaan menjadi tegang selepas beberapa peserta mula menghalang laluan di Jalan Tun Razak, sehingga mencetuskan kekecohan dengan seorang anggota polis disiku di muka dan mengalami kecederaan ringan.

Kes itu disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda hingga RM10,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.