Johari bidas ‘orang luar’ politikkan isu Kg Sg Baru

Johari bidas ‘orang luar’ politikkan isu Kg Sg Baru

Ahli Parlimen Titiwangsa kata projek pembangunan semula itu tidak boleh diundurkan kerana penduduk yang berpindah sudah bertahun menunggu rumah baharu.

Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani kata lima pegawainya yang gegas ke lokasi pada 11 Sept mendapati ramai yang terlibat dalam kekecohan terdiri daripada orang luar.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Abdul Ghani membidas ‘orang luar’ yang mempolitikkan isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru, sehingga mencetuskan kekecohan membabitkan penduduk setempat pada 11 Sept lepas.

Katanya, penduduk Kampung Sungai Baru memahami isu berkenaan namun orang luar yang ‘buat-buat tidak faham’ mempolitikkannya.

Beliau mendedahkan kepada TV3 bahawa lima pegawainya yang bergegas ke lokasi pada 11 Sept mendapati ramai yang terlibat dalam kekecohan terdiri daripada orang luar.

Beliau juga berkata seolah-olah macam ada satu penipuan kepada rakyat yang tak faham soal pembangunan.

Ditanya pengacara audio siar, Farah Nabilah Wazer, sama ada beliau merasakan isu ini telah dipolitikkan, Johari berkata: “Nak politik boleh tetapi… bagaimana hendak undurkan (pembangunan semula) apabila mereka yang telah berpindah lebih tujuh tahun masih menunggu unit rumah yang belum juga menjadi kenyataan.”

“Kalau unit itu hanya mula dibina pada tahun kelapan, mereka perlu tunggu lagi lima tahun. Itu bermakna mereka tidak mendapat apa-apa selama 13 tahun… 40% daripada mereka sudah pun meninggal dunia.”

Pada 11 Sept lalu, berlaku kekecohan ketika operasi pengosongan 37 rumah di Kampung Sungai Baru, apabila individu-individu terbabit menuntut pihak berkuasa membenarkan mereka memasuki kawasan perumahan itu.

Kekecohan bertukar ganas, apabila Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman cedera terkena objek di kepala, lalu membawa kepada penahanan tiga individu untuk membantu siasatan.

Pengajaran bagi RUU PSB

Dalam pada itu, Johari berkata isu ini seharusnya menjadi pengajaran kepada Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB), yang ditangguhkan ke sidang Parlimen akan datang.

Beliau menegaskan, undang-undang yang dicadangkan itu mesti memperincikan dengan jelas peranan kerajaan dalam isu pembangunan semula, khususnya dalam menangani keadaan apabila pemaju dilantik gulung tikar ketika projek sedang berjalan.

“Sebab itu kita kena berhati-hati. Saya selalu tekankan pemaju dan kontraktor mestilah benar-benar berwibawa dan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, supaya mereka mampu menyiapkan projek walaupun tiada pembeli (untuk unit tersebut),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.