Mangsa banjir Kedah turun kepada 1,332

Mangsa banjir Kedah turun kepada 1,332

Semua mangsa dari Pokok Sena, Kota Setar dan Kubang Pasu ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara.

mangsa banjir
Di Kota Setar 416 orang daripada 130 keluarga berlindung di PPS SK Titi Gajah, SMK Kepala Batas dan SMK Alor Merah. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Jumlah mangsa banjir di Kedah berkurang kepada 1,332 orang daripada 426 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 1,384 orang daripada 444 keluarga petang tadi.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semua mangsa dari Pokok Sena, Kota Setar dan Kubang Pasu ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS).

Pokok Sena mencatatkan mangsa tertinggi iaitu 707 orang daripada 224 keluarga ditempatkan di PPS Surau Desa Keda Derang, Maahad Tarbiyah Islamiyah Derang, Dewan Serbaguna Pokok Sena, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Hijau Mukim Derang dan Masjid Kampung Baru Jalan Lampam.

Di Kota Setar, 416 orang daripada 130 keluarga berlindung di PPS SK Titi Gajah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas dan SMK Alor Merah.

Sebanyak 209 orang daripada 72 keluarga di Kubang Pasu pula masih berada di PPS Dewan Lubuk Batu dan SK Bandar Baru Darul Aman.

Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setakat 8 malam ini, Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Kubang Pasu; Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar dan Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang, Pendang melebihi paras bahaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.