Bencana di Sabah: Baik pulih infrastruktur kena dipercepat, kata PM

Bencana di Sabah: Baik pulih infrastruktur kena dipercepat, kata PM

Anwar Ibrahim berkata bah dan tanah runtuh merosakkan bangunan dan jalan tidak boleh melalui proses biasa.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Hajiji Noor meninjau Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan kerja memperbaiki kerosakan infrastruktur bangunan dan jalan akibat banjir dan tanah runtuh di Sabah dipercepatkan tanpa mengikut proses biasa.

Anwar yang juga menteri kewangan, berkata beliau tidak mahu proses baik pulih mengambil masa terlalu lama.

Ia termasuk membina bangunan baharu Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh, baru-baru ini.

“Saya tak mahu ikut proses biasa kerana banjir dan kerosakan ini bukan proses biasa. Kalau kita buat proses biasa, nak siapkan jalan, kemudahan (ambil masa) terlalu lama.

“Oleh itu, kita dah minta supaya proses itu dipercepatkan,” katanya menurut Bernama selepas meninjau lokasi tanah runtuh di IPG Kampus Gaya di Kota Kinabalu diiringi Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

Terdahulu, Anwar turut meluangkan masa meninjau beberapa kawasan terjejas banjir dan tanah runtuh di Penampang dan Kota Kinabalu bagi menzahirkan keprihatinan terhadap nasib penduduk yang terkesan bencana itu.

Anwar bersama Hajiji tiba di Country Heights, Kota Kinabalu pada 2.55 petang dan menghabiskan kira-kira 30 minit meninjau lokasi kejadian tanah runtuh serta menyantuni penduduk di kawasan berkenaan.

Kejadian tanah runtuh pada Isnin lalu itu menyebabkan lebih 30 rumah dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Perdana menteri kemudian meneruskan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Paul Kolopis pada 3.25 petang, disambut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang.

Beliau meluangkan kira-kira 15 minit bertanya khabar dan memberi kata semangat kepada mangsa yang ditempatkan di PPS itu, sebelum bergerak ke PPS Kampung Sarapung.

Anwar tiba di Kampung Sarapung pada 4 petang dan menghabiskan kira-kira 30 minit menyantuni penduduk selain mendengar taklimat mengenai kejadian tanah runtuh di kawasan itu.

Pada 12 Sept, seorang lelaki warga emas berusia 97 tahun maut selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di kampung berkenaan.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, setakat petang ini seramai 2,256 daripada 710 keluarga ditempatkan di PPS. Bencana tanah runtuh di negeri itu setakat ini meragut 13 nyawa manakala seorang mangsa maut akibat banjir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.