Mangsa banjir di Sabah turun kepada 439, Sarawak kekal

Mangsa banjir di Sabah turun kepada 439, Sarawak kekal

Jumlah mangsa banjir di PPS Dewan Suarah Marudi, Miri, kekal 17 orang daripada lima keluarga.

pps
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata terdapat 126 mangsa banjir di Papar, Penampang (121 orang) dan Membakut (192 orang). (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah mencatatkan penurunan pagi ini, manakala jumlah mangsa di Sarawak tidak berubah.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir di PPS menurun kepada 439 orang daripada 128 keluarga pagi ini berbanding 892 orang daripada 273 keluarga petang semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan semua mangsa ditempatkan di empat PPS di daerah Penampang, Membakut dan Papar.

“Jumlah mangsa banjir di Papar (126 orang) dan Penampang (121 orang) menunjukkan trend penurunan, manakala jumlah mangsa di Membakut kekal 192 orang,” katanya dalam kenyataan.

JPBN turut memaklumkan 53 kampung masih terjejas setakat ini, melibatkan 24 kampung di Penampang, 20 di Papar dan sembilan di Membakut.

Di Sarawak, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir di PPS Dewan Suarah Marudi, Miri, kekal 17 orang daripada lima keluarga pagi ini.

Data laman Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan paras sungai di Stesen Long Teru masih di tahap bahaya 8.77m, namun ia menunjukkan trend menurun perlahan sejak dua hari lalu.

Paras air di Stesen Marudi pula kekal pada bacaan bahaya 4.17m.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.