1,476 mangsa banjir di 20 PPS Sabah

1,476 mangsa banjir di 20 PPS Sabah

Semua mangsa di Beaufort dan Sipitang dibenarkan pulang pagi ini.

pps
Seramai 1,476 orang daripada 459 keluarga masih berlindung di 20 PPS di Penampang, Papar dan Membakut setakat ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Situasi banjir di Sabah semakin pulih dengan hanya pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Penampang, Papar dan Membakut masih dibuka, manakala semua mangsa di Beaufort serta Sipitang dibenarkan pulang pagi ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir dan tanah runtuh yang masih berlindung di PPS turun mendadak kepada 1,476 orang daripada 459 keluarga berbanding 2,256 orang daripada 710 keluarga petang semalam.

Membakut mencatatkan jumlah tertinggi dengan 738 mangsa banjir daripada 247 keluarga di 13 PPS, diikuti Penampang yang menempatkan 493 mangsa banjir dan tanah runtuh daripada 141 keluarga di enam PPS, manakala satu lagi PPS di Papar dengan 245 mangsa banjir daripada 71 keluarga.

“Sebanyak 53 kampung masih terjejas pagi ini berbanding 120 kampung petang semalam, dengan Penampang (24 kampung), Papar (20) dan Membakut (sembilan),” katanya dalam kenyataan.

Di Sarawak, JPBN memaklumkan 13 orang daripada tiga keluarga masih berlindung di PPS Dewan Suarah Marudi setakat 9 pagi tadi.

Laman Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan paras sungai di stesen Long Teru dan Marudi di Miri serta Lubok Piasau II di Limbang menurun sedikit susulan cuaca baik, namun masih melebihi paras bahaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.