Anak tempatan supercaj pertanian dengan kristal nano

Anak tempatan supercaj pertanian dengan kristal nano

Semburan Harvast guna teknologi berasaskan 'quantum dot' untuk membolehkan tumbuh-tumbuhan memanfaatkan sinaran mentari dengan berkesan, untuk tumbesaran lebih sihat.

suraya
Profesor UPM Suraya Abdul Rashid cipta ‘penggalak fotosintesis’ untuk membantu tumbuh-tumbuhan menghadapi cuaca melampau.
PETALING JAYA:
Bagaimana jika sayuran-sayuran yang anda tanam boleh tumbuh dan membesar dengan berkesan walau dalam cuaca tidak menentu?

Penambahbaikan itu telah tiba, hasil teknologi sama membolehkan televisyen menghasilkan pelbagai warna yang realistik dengan cekap, berasaskan kristal nano dikenali sebagai ‘quantum dot’.

“Kita sembur pada padi, kita ukur, kita nampak peningkatan fotosintesis yang orang kata ‘unprecedented’, tak pernah dilihat sebelum ini oleh pakar fotosintesis,” kata Suraya Abdul Rashid, pengarah Institut Nanosains dan Nanoteknologi di Universiti Putra Malaysia, serta pengasas Qarbotech Sdn Bhd, yang menghasilkan semburan Harvast dan Harvast+.

Dilancarkan pada 2018, pemakaian teknologi memuncul berasaskan partikel nano ini tergendala lantaran wabak Covid-19. Suraya percaya semburan ciptaan anak tempatan ini berpotensi membawa sinar baharu dalam dunia pertanian.

Ada apa dengan dot?

‘Quantum dot’ ialah molekul mikroskopik beribu kali lebih kecil daripada lebar rambut manusia dan ratusan kali lebih kecil daripada sel darah merah.

Dalam beberapa artikel seawal 2018, pemerhati teknologi sains menguar-uarkan penggunaan ‘quantum dot’ untuk pencahayaan, agar tanaman disuap dengan sinaran tertentu yang berguna untuk tumbesaran.

‘Quantum dot’ dipercayai kunci kepada pertanian dalam bangunan menghasilkan lebih banyak makanan, dengan saiz kebun yang lebih kecil dan guna tenaga lebih cekap.

Suraya mendekati misi ini secara berbeza, mengaplikasikan teknologi itu untuk kegunaan ladang dalam bentuk semburan, bagi menggalakkan fotosintesis — proses di mana tumbuhan menggunakan tenaga cahaya untuk menukar air dan karbon dioksida kepada oksigen dan gula untuk tumbesaran.

Suraya Abdul Rashid
Suraya Abdul Rashid ketika ditemu bual FMT.

Menurutnya, fotosintesis sebenarnya proses yang kurang efisien; cuma 2-4% tenaga cahaya ditukarkan kepada pertumbuhan tumbuhan baharu menurut suatu artikel beliau yang disiarkan di laman sesawang UPM.

Katanya, tanaman tidak menyerap semua cahaya matahari yang masuk antaranya kerana pantulan.

“Masa itu saya guna ‘quantum dot’ untuk satu aplikasi iaitu untuk merubah karbon dioksida kepada hidrokarbon. Saya mendapati bila saya guna bahan ini, kecekapan proses itu meningkat,” katanya.

Memanfaatkan sinaran ultra ungu

Suraya menjelaskan Harvast dan Harvast+ membolehkan tumbuh-tumbuhan menyerap sinaran ultra ungu (ultra violet atau UV) dan menukarnya kepada tenaga yang boleh dimanfaatkan.

Beliau percaya teknologi yang membolehkan petani memanfaatkan UV akan membolehkan mereka mengharungi cuaca melampau atau musim monsun yang berpanjangan, sebagai contoh.

“Biasanya petani akan mengalami penurunan produktiviti sehingga 30% bila monsun. Tetapi apabila petani pakai produk penggalak fotosintesis kita semasa cuaca mendung, apa yang mereka dapati ialah produktiviti mereka tidak terjejas begitu teruk.”

“Jika cahaya kurang, tiada masalah kerana masih ada UV. Produk kami menukarkan tenaga UV kepada julat tenaga yang pokok boleh serap dan menggunakannya untuk fotosintesis,” katanya.

Dari makmal ke ladang

Sesuatu secanggih ini bagaimanapun belum tentu dapat meyakinkan pasaran yang terbiasa dengan pendekatan sedia ada.

Selepas mengasaskan Qarbotech, Suraya berganding dengan Chor Chee Hoe untuk memasarkan produk ini kepada petani yang skeptikal.

“Dia bukan baja, bukan pestisida, dia adalah satu kelas input untuk pertanian yang baharu. Jadinya kita nak bagi kesedaran kepada petani pun satu cabaran,” katanya.

Bermula dengan dana sendiri dan hampir tumbang pada 2022 kerana kekurangan dana, Qarbotech bingkas apabila Harvast memenangi pelbagai pertandingan, antaranya Anugerah Inovator Baharu sempena Tahun Pengkomersialan Malaysia 2023, yang berjaya menarik minat pelabur.

“Kami berjaya mendapatkan pembiayaan daripada ‘angel investor’. Kami berjaya untuk mendapatkan pembiayaan Venture Capital Investment daripada 500 Global pada Ogos 2023.

“Alhamdulillah, kami juga menang beberapa pertandingan di luar negara. Kami dapat geran daripada Temasek Foundation Singapore. Di Malaysia pula kami dapat geran daripada Khazanah Dana Impak.”

Malaysia sahut cabaran perubahan iklim

Bagi Suraya, inovasi ini melambangkan kemahuan dan kesungguhan ahli sains tempatan bersaing di peringkat global dan menawarkan penyelesaian kepada cabaran dunia hari ini.

“Pertanian kini berdepan dengan satu masalah yang sangat kritikal iaitu, perubahan iklim. Kalau kita boleh meningkatkan fotosintesis, sebenarnya, tumbuhan boleh menyembuhkan dunia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.