Isu tanah, pertanian agenda penting calon GRS pertahan Nabawan

Isu tanah, pertanian agenda penting calon GRS pertahan Nabawan

Ghani Abdul Yassin berkata lebih 60% isu pertindihan tanah, pengukuran lot serta pengeluaran geran berjaya diselesai sebelum ini.

Calon Gabungan Rakyat Sabah Ghani Abdul Yassin yakin dapat mempertahankan kerusi Nabawan dalam pertembungan sembilan penjuru di DUN Nabawan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di DUN Nabawan Ghani Abdul Yassin menjadikan isu tanah serta pembangunan di kawasan itu sebagai agenda pentingnya untuk mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN Sabah.

Ghani berkata sepanjang lima tahun mewakili kawasan itu sebelum ini, lebih 60% isu pertindihan tanah, pengukuran lot serta pengeluaran geran berjaya diselesaikannya sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi penduduk khususnya dalam sektor pertanian.

“Kalau isu tanah ini tidak selesai, usaha meningkatkan ekonomi di sini tidak akan selesai.

“Kerana itu, kita membawa agensi-agensi kerajaan ke sini, cuba menjalankan usaha sama untuk penanaman yang boleh menjana pendapatan masyarakat di luar bandar.

“Usaha itu turut diperkukuh melalui penubuhan pusat pengumpulan agar kelapa sawit dan hasil tanaman kontan dapat dijual mengikut harga pasaran tanpa campur tangan orang tengah yang mengambil kesempatan,” katanya, menurut Bernama.

Selain itu, Ghani berkata pendekatan terbabit berikutan perancangan rapi bersama agensi seperti Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) yang pernah dipengerusikannya untuk memperluas projek tanaman berskala besar serta mengukuhkan program peningkatan pendapatan penduduk.

“Yang lagi 40% (baki isu) itu terlalu sukar (diselesaikan). Misalnya, apabila geran-geran komunal diperkenalkan semasa kerajaan Barisan Nasional tapi dibubar oleh kerajaan Warisan tanpa ada kajian menyeluruh,” katanya.

Mengenai PRN pula, beliau yakin dapat mempertahankan kerusi Nabawan dalam pertembungan sembilan penjuru berikutan sokongan padu diterima daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

“Hampir kesemua ahli jawatankuasa dan ahli-ahli STAR menyokong saya sebagai calon GRS di sini, mereka menyediakan satu memorandum untuk terus menyokong atas usaha-usaha yang telah kita lakukan untuk masyarakat di Nabawan ini,” katanya.

Terdahulu, beliau sempat berkempen di beberapa kampung di Nabawan dan Pensiangan sambil diiringi Pemangku Ketua STAR Nabawan Ami Talu dan beberapa pemimpin lain

Pada PRN lepas, Ghani memenangi DUN Nabawan dengan majoriti 2,238 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Terletak kira-kira 176 kilometer dari Kota Kinabalu, DUN Nabawan merupakan satu daripada kawasan pedalaman dalam Parlimen Pensiangan.

Sebanyak 23,379 pengundi dalam DUN Nabawan akan mengundi pada Sabtu ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.