
Ya, menurut penggubal Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hujung Julai lalu.
Dengan mengutamakan keterjaminan makanan, pelan itu bermatlamat memperkukuh daya tahan negara, merancakkan semula ekonomi desa yang pegun, serta menggerakkan ekonomi kitaran.
Hakikatnya, meskipun dengan tanah subur yang terbentang luas, Malaysia masih sangat bergantung pada import makanan, dinilaikan mencecah RM78.8 bilion pada 2023.
Imperatif nasional
Kebergantungan melampau ini bukan sekadar melebarkan defisit dagangan, malah mendedahkan negara kepada kejutan harga dunia, ketidaktentuan mata wang dan gangguan iklim.
Dengan rantaian bekalan global yang semakin rapuh, satu strategi keterjaminan bekalan makanan yang kukuh menjadi tonggak kedaulatan negara.
Pada masa ini, Malaysia menduduki tempat ke-41 dalam kalangan 113 negara dalam Indeks Keterjaminan Makanan Global (GFSI) 2022, jauh di belakang beberapa negara yang kurang sumber aslinya.
Untuk mengatasi jurang ini, RMK13 menyasarkan kadar sara diri (SSR) yang lebih tinggi bagi komoditi utama di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030: buah-buahan (83%); sayur-sayuran (79%); daging lembu atau kerbau (50%); daging ayam/itik (140%); telur ayam/itik (123%); perikanan (98%); dan beras (80%).
Bagi merealisasikan sasaran itu, kerajaan merangka pelan untuk peluasan pertanian secara besar-besaran di Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Usaha ini akan disokong oleh penaiktarafan sistem pengairan, baka tanaman dan ternakan yang lebih baik, serta teknologi perikanan dan akuakultur moden.
Tumpuan untuk meningkatkan kitaran penanaman padi lima musim di Kedah, Perlis, Kelantan, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Sarawak kekal menjadi paksi utama dalam usaha meningkatkan SSR beras negara.
Merancakkan semula desa
Keutamaan terhadap jaminan bekalan makanan menerusi pertanian berskala besar sebenarnya membawa satu faedah strategik yang cukup mustahak: pemodenan dan penyegaran semula kawasan-kawasan desa utama di Malaysia, yang didiami kira-kira 7.5 juta penduduk.
Justeru, RMK13 menggesa satu anjakan paradigma – mengangkat semula sektor pertanian sebagai paksi ekonomi dan bukan lagi sekadar pilihan kedua. Tujuannya adalah untuk melahirkan sektor pertanian moden yang mampan, bernilai tinggi dan berskala besar tanpa mengabaikan pekebun kecil.
Menerusi hab inovasi pertanian, geran pertanian pintar, dan sokongan agropelancongan, komuniti luar bandar didorong melihat pertanian sebagai kerjaya keusahawanan yang sarat dengan teknologi.
Ini sekali gus menjadikan pertanian bernilai tinggi sebagai pilihan menarik bagi golongan belia yang selama ini lebih cenderung berhijrah ke kota.
Kolaborasi dengan kerajaan tempatan dan pihak berkuasa tempatan menjadi tunjangnya.
RMK13 menggalakkan strategi berpusatkan rakyat dan berlandaskan keperluan setempat, yang menyaksikan kerajaan negeri, koperasi dan komuniti merangka bersama hala tuju pembangunan pertanian mengikut acuan tempatan.
Pendekatan ini bermatlamat menyekat penghakisan komuniti di kawasan pedalaman dan menjadikan pertanian sebagai sumber ekonomi yang benar-benar memberi makna.
Dari sisa jadi sumber
Dalam Malaysia melangkah ke arah masa depan yang lebih lestari di bawah RMK13, penerimaan prinsip ekonomi kitaran kini menjadi paksi strategi pertumbuhannya.
Pendekatan ini menyasarkan untuk mengekang penggunaan sumber asli dan mengurangkan pembaziran dalam keseluruhan rantaian pengeluaran dan penggunaan.
Ketika membentangkan pelan itu, Anwar menegaskan, “Sisa pertanian bukan lagi bahan buangan. Ia akan memperkasakan ekonomi kitaran di kawasan luar bandar.”
Produk sampingan seperti sekam padi, pelepah sawit, kulit buah dan najis ternakan akan diolah semula menjadi kompos, bahan api bio, atau sumber biogas. Langkah ini bukan sahaja mengurangkan beban tapak pelupusan sampah, tetapi juga menjadi sumber pendapatan baharu untuk pekebun kecil.
RMK13 turut menggalakkan inisiatif seperti kemudahan pengkomposan komuniti, projek biogas secara teragih, serta R&D bahan berasaskan bio. Kesemua ini didorong oleh matlamat serampang dua mata, iaitu mengurangkan impak alam sekitar dan mewujudkan peluang pendapatan baharu untuk warga desa.
Reformasi ekosistem agromakanan
Ada yang sangsi sama ada RMK13 mampu diterjemahkan daripada wawasan kepada pelaksanaan.
Segala usaha ini perlu dipasak dengan komitmen terhadap reformasi sistemik. Ini termasuklah merungkai amalan kartel dalam sektor pertanian demi memastikan ketelusan dan kecekapan rantaian bekalan, selain mempergiat penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) untuk melonjakkan daya pengeluaran.
Kerajaan juga harus membuktikan tindakannya selari dengan kata-kata, contohnya dengan menggubal dasar yang mewajibkan penggunaan hasil tempatan sepenuhnya dalam majlis- majlis rasmi kerajaan untuk menyokong pengeluar desa.
Penggerak utama usaha ini ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu, yang baru-baru ini giat mempromosikan avokado tempatan bagi menggalakkan penggunaan hasil dalam negara.
Lonjakan seterusnya dijangka dipacu menerusi mekanisme kewangan, termasuk geran dan pembiayaan pertanian pintar untuk memodenkan operasi perladangan dengan AI dan teknologi pertanian jitu, yang menjadi prasyarat untuk meningkatkan SSR dan daya pengeluaran.
Pertanian tunjang masa depan
Apabila RMK13 dilancarkan, Malaysia kini mengolah semula keterjaminan bekalan makanan bukan lagi sebagai sekadar benteng pertahanan terhadap kejutan luar. Sebaliknya, ia dilihat sebagai senjata strategik bagi pertumbuhan inklusif, mengaitkan pertanian dengan daya tahan kewangan dan menukar sisa menjadi sumber.
Pendekatan ini meletakkan pertanian dan pembangunan desa sebagai peneraju ekonomi, mengiktiraf keperluan serta keutamaan pembangunan komuniti setempat.
Dengan sokongan dasar yang padu, penerapan teknologi, dan pembabitan komuniti setempat, bidang pertanian – khususnya yang bernilai tinggi dan berskala besar – mampu muncul sebagai kerjaya yang lumayan, lestari alam, dan memperkasa masyarakat.
Menjelang tahun-tahun mendatang, keterjaminan bekalan makanan akan menjadi pemacu kemakmuran luar bandar yang tidak terduga bagi Malaysia, dengan kawasan-kawasan desa menjadi tunjang kemajuan negara.