Petani Vanila hidupkan semangat Krismas sepanjang tahun

Petani Vanila hidupkan semangat Krismas sepanjang tahun

Perusahan sosial Vanilla Impact Story ditubuhkan Alfred Phua, beri peluang kedua kepada komuniti terpinggir di Sarawak.

Alfred phua-Vanilla farmer keeps Christmas spirit alive all year
Bagi usahawan sosial, Alfred Phua, membantu mereka yang dipinggirkan masyarakat adalah satu semangat Krismas sepanjang tahun. (Gambar Alfred Phua)
PETALING JAYA:
Lama selepas alunan lagu Krismas terakhir berlalu dan lampu perayaan disimpan, Alfred Phua terus menghayati makna sebenar perayaan itu – secara senyap, konsisten dan penuh belas ihsan terhadap golongan yang sering terpinggir oleh masyarakat.

Bagi anak Sarawak itu, Krismas lebih daripada sekadar tarikh di kalendar. Ia adalah cara hidup, dibentuk oleh amalan memberi, kebaikan dan kepercayaan bahawa setiap insan berhak mendapat peluang kedua.

“Kita sering menganggap Krismas sebagai musim memberi dan berkongsi,” kata Phua kepada FMT Lifestyle.
“Tetapi memberi tidak terhad kepada wang – ia juga boleh dalam bentuk sumbangan, melalui kata-kata dan tindakan kita.”

Kepercayaan itu diterjemahkan setiap hari melalui Vanilla Impact Story, perusahaan sosial yang diasaskannya bagi memperkasa kehidupan menerusi penanaman vanila.

Di sebuah ladang seluas lapan hektar di Sibu, Vanilla Impact menggaji bekas penagih dadah, menawarkan bukan sekadar pekerjaan tetapi maruah, tujuan hidup dan laluan untuk membina semula kehidupan mereka.

Alfred phua-Vanilla farmer keeps Christmas spirit alive all year
Phua bersama Henry Wong, bekas pengedar dadah yang menemui kasih sayang dan penerimaan masyarakat di Vanilla Impact Story. (Gambar Alfred Phua)

Di kawasan luar bandar Kuching, lelaki berusia 64 tahun itu bekerjasama rapat dengan komuniti pribumi daripada suku Iban dan Bidayuh, dengan menyediakan latihan, khidmat rundingan, anak benih serta sokongan berterusan bagi membantu mereka berjaya sebagai penanam vanila.

Ini adalah komuniti yang sering diketepikan – namun bagi Phua, mereka adalah insan yang penuh potensi dan layak menerima harapan serta peluang.

Menariknya, pertanian tidak pernah menjadi sebahagian daripada perancangannya: Phua tidak mempunyai latar belakang pertanian sehingga usianya mencecah 50-an.

Pada usia 53 tahun, ketika menjadi sukarelawan bersama sebuah NGO untuk mengajar golongan miskin menanam tanaman bagi tujuan makanan dan pendapatan, beliau menyedari bahawa beliau sendiri perlu mempelajari pertanian jika benar-benar mahu membantu orang lain.

Alfred phua-Vanilla farmer keeps Christmas spirit alive all year
Harapan boleh berkembang mekar di tempat yang tidak disangka-sangka seperti di sebuah ladang Vanila di Sarawak ini.(Gambar Alfred Phua)

Bermula dari kosong, beliau belajar dan mendalami ilmu dengan tekad yang senyap.

Kemudian, apabila bertemu dua ibu tunggal yang memerlukan bantuan, Phua dan isterinya membuka pintu rumah mereka untuk menempatkan wanita itu. Namun, beliau tahu perlindungan semata-mata tidak mencukupi.

“Mereka perlukan cara untuk menjana pendapatan,” katanya. “Tetapi mereka tidak boleh keluar bekerja – tiada pengangkutan, pendidikan terhad, dan mereka perlu menjaga anak-anak.”

Jawapannya hadir dalam bentuk yang tidak disangka-sangka: seorang jiran menanam cendawan, dan Phua memutuskan untuk mencubanya.

Beliau mempelajari segala-galanya yang mampu, daripada jirannya dan juga melalui internet, sebelum mula menggaji ibu-ibu tunggal itu dan seterusnya memperluaskan peluang kepada individu kurang upaya.

“Rumah saya bertukar menjadi ladang cendawan bandar,” katanya sambil tersenyum.

Vanila pula muncul hampir secara kebetulan. Ketika menghasilkan kompos menggunakan cacing untuk cendawan, Phua mendapati kompos itu sangat sesuai untuk orkid. Vanila, katanya, adalah daripada keluarga orkid.

Rasa ingin tahu mencetuskan eksperimen, dan perjalanan itu akhirnya membawa kepada penubuhan Vanilla Impact Story pada 2022.

Hari ini, Phua menggambarkan dirinya sebagai seorang petani dan usahawan ‘secara tidak sengaja” – didorong oleh tujuan yang jelas. “Melihat kehidupan berubah memberi saya harapan dan kegembiraan,” katanya.

Salah satu kehidupan itu ialah Henry Wong, bekas pengedar dadah yang hukumannya diringankan. Apabila Wong menyertai ladang Phua di Sibu, beliau menemui lebih daripada sekadar pekerjaan – beliau menemui penerimaan, galakan dan peluang kedua dalam kehidupan.

 Semangat Krismas

Sebelum penanaman vanila menjadi sebahagian daripada hidupnya, Phua sudah pun menghayati mesej Krismas sebagaimana yang difahaminya: mengasihi dan memberi kepada orang lain.

Selama bertahun-tahun, beliau mendidikasikan diri kepada kerja sosial, menyantuni individu yang bergelut dengan ketagihan dadah di pusat pemulihan, memulakan dapur jalanan untuk gelandangan, serta mengendalikan program seni kreatif untuk belia terpinggir.

Sifat dermawan Phua yang menyentuh hati berasaskan latar belakang hidup beliau yang sukar.

Alfred phua-Vanilla farmer keeps Christmas spirit alive all year
Bagi Phua, Christmas lebih bermakna apabila bersama dengan keluarganya. (Gambar Alfred Phua)

Phua membesar bersama tujuh beradik dalam sebuah keluarga yang bermasalah. Bapanya, seorang tukang masak yang berhijrah dari China ke Malaysia, bergelut dengan ketagihan alkohol.

“Dia pandai memasak, tetapi dia juga pandai minum arak,” kata Phua yang mengenang mendiang bapanya. “Setiap kali dia mabuk, pasti ada masalah di rumah. Saya tidak menikmati zaman kanak-kanak atau remaja seperti orang lain.”

Phua bergelut dengan masalah insomnia dan kemurungan, dan pada usia semuda 17 tahun, beliau kehilangan bapanya dalam satu kemalangan langgar lari.

Namun, Phua tidak membiarkan kesusahan itu menentukan kehidupannya, beliau memilih jalan yang berbeza – berteraskan empati, ketahanan dan harapan.

Pada Hari Krismas, Phua memilih kesederhanaan, meluangkan masa secara tenang bersama keluarganya. Ia adalah satu sambutan yang dirasakan sesuai bagi seorang lelaki yang percaya bahawa perayaan ini paling bermakna apabila dihormati melalui perbuatan kasih sayang dalam kehidupan seharian.

Selepas hiasan disimpan dan musim perayaan berakhir, Phua terus membawa semangat Krismas bersamanya – melalui setiap benih yang ditanam, setiap kehidupan yang dipupuk, dan setiap peluang kedua yang beliu bantu realisasikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.