
Chay Ee Mong, setiausaha Persatuan Penanam Sayur Cameron Highlands dan timbalan pengerusi Persekutuan Persatuan Petani Sayur Malaysia, berkata sayur-sayuran dari negara luar, terutama China, mengancam daya maju sayur-sayuran tempatan.
“Di pintu ladang, harganya sering hanya 50 atau 60 sen sekilogram, dan import murah memburukkan lagi keadaan. Sayur-sayuran import bebas masuk tanpa tarif atau duti, dan kami tidak mampu bersaing,” katanya.
Chay menggesa kerajaan melindungi para petani pada belanjawan akan datang.
“Apa yang kami mahu dalam belanjawan akan datang ialah kerajaan mengembalikan skim insentif lama, menyediakan subsidi diesel yang lebih realistik, mengurangkan atau mendiskaunkan yuran sewa tanah, memperkenalkan kawalan yang lebih ketat ke atas sayur-sayuran import, dan mengurangkan beban caruman wajib.
“Jika kerajaan dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya dua atau tiga isu ini, petani akan merasai sedikit kelegaan,” katanya.
Pada 2009, kerajaan pernah memberikan bantuan tunai RM81 kepada petani bagi setiap tan sayur yang dihasilkan. Chay menyeru agar program itu dihidupkan semula dan bayaran ditetapkan pada RM120 setiap tan yang dihasilkan.
Beliau menjelaskan kos pertanian — yang terdiri daripada baja, racun perosak, benih, upah, dan caruman wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) — telah melambung dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Selain itu, subsidi diesel yang kami terima tidak mencukupi. Kami hanya mendapat subsidi tunai bulanan RM200, tetapi ini tidak memadai kerana diesel diperlukan untuk jana kuasa ladang, bukan hanya kenderaan,” katanya.
Beliau menambah, hanya petani dengan jualan tahunan bawah RM300,000 yang layak mendapat subsidi diesel, sekali gus menyulitkan keadaan bagi pengendali yang lebih besar.
“Kami telah mencadangkan agar had dinaikkan kepada RM1 juta, tetapi tiada hasil yang dicapai, walaupun selepas dialog kami dengan timbalan menteri kewangan,” katanya.
Chay juga menggesa Pahang agar mengurangkan kadar sewa tanah, yang kini sebanyak RM4,500 seekar setahun, sambil mengatakan kadar itu terlalu tinggi memandangkan harga jualan yang lemah.
Melangkaui subsidi
Pakar keselamatan makanan, Fatimah Arshad, menyokong gesaan untuk kawalan lebih ketat ke atas import.
Sesetengah komoditi yang diimport daripada negara luar seperti China, India atau Vietnam (seperti buah-buahan, cili, sayur-sayuran, daging) adalah murah. Maka lambakan import berterusan akan melemahkan pembangunan industri tempatan seperti yang terbukti sekarang ini. Pengeluar tempatan tidak dapat menyaingi barang import yang sesetengahnya pernah dikeluarkan oleh Malaysia, katanya, dan menambah Malaysia kini pengimport bersih bagi hampir semua komoditi makanan kecuali ayam dan telur.
“Tahap sara diri untuk komoditi makanan asas seperti beras, ikan, daging semua menurun semenjak 1990. Bil import turut meningkat dengan besar. jika berlaku kepincangan Malaysia akan alami situasi ketersediaan makanan yg kurang dan perlu mengimport lebih,” kata ahli akademik Universiti Pertanian Malaysia itu.
Fatimah menekankan kerajaan mesti memperkukuh sektor pertanian tempatan dengan meningkatkan produktiviti dan mengurangkan pergantungan pada buruh asing.
Beliau mengambil India sebagai contoh, yang dalam tempoh sedekad menjadi pengeksport beras terbesar di dunia dengan membangunkan syarikat pemula dan aplikasi digital untuk meningkatkan hasil pertanian.
“Subsidi bersasaran kepada petani dan pengguna memang mengurangkan beban perbelanjaan mereka lantas memperbaiki keterjaminan makanan. Pergantungan berterusan kepada subsidi dan bantuan melemahkan petani untuk mengambil langkah berdikari, dan mengherotkan pasaran,” katanya.
Beliau berkata, satu-satunya penyelesaian yang mampan adalah dengan meningkatkan kapasiti pertanian tempatan melalui pemodenan pengeluaran makanan sehingga wujud lebihan.
“Bila ini dicapai, maka semua penduduk akan alami situasi keterjaminan makanan di tahap yang tinggi, iaitu bekalan makanan berterusan tanpa gangguan, daya beli yang cukup, nutrisi berkualiti dan kestabilan industri makanan.”
Fatimah juga menyeru agar diadakan program rintis makanan berkhasiat di sekolah, penggunaan subsidi digital yang lebih meluas, dan sokongan yang lebih kuat untuk koperasi bagi menangani kartel dan monopoli.
“Untuk membangunkan sektor pertanian atau makanan yang maju memerlukan masa bertahun-tahun. Strategi yang perlu adalah sokongan pasarana dan yang paling penting penyelidikan dan pembangunan, pertanian pintar iklim, dan hapuskan monopoli atau oligopoly untuk elakkan kartel. Koperasi adalah model terbukti yang menjamin kesejahteraan ahli oleh ahli demi ahli,” katanya.