New Zealand mahu pacu pelaburan dengan Malaysia, Asean

New Zealand mahu pacu pelaburan dengan Malaysia, Asean

Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon berkata kerajaannya berusaha tarik lebih banyak pelaburan dari Malaysia dan rantau ini.

Christopher Luxon
Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon berkata negaranya sentiasa membuka pintu kepada pekerja mahir dari seluruh rantau ini dan dunia.
AUCKLAND:
New Zealand berhasrat memperkukuh hubungan pelaburan dan perdagangan dengan Malaysia serta rantau Asean, dengan Perdana Menteri Christopher Luxon menggariskan beberapa pembaharuan untuk menjadikan negara itu lebih menarik kepada pelabur asing.

“Pelabur Malaysia sangat berjaya di New Zealand,” kata Luxon dalam satu temu bual eksklusif dengan FMT, sambil menekankan rekod panjang pelabur Malaysia yang ‘memahami pasaran’ dan ‘sangat dihormati’.

“Jadi kami mahu mempercepatkan semua usaha ini dan pada masa sama menggalakkan peluang untuk firma New Zealand turut sama menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia.”

Luxon menyatakan minat bekerjasama dengan dana kekayaan berdaulat Malaysia dan Asean untuk projek infrastruktur awam dan swasta.

Bagi menyokong usaha itu, katanya, kerajaan New Zealandmemperkenalkan beberapa langkah termasuk pindaan kepada Akta Pelaburan Luar Negara, memudahkan undang-undang perancangan dan mengukuhkan proses kelulusan.

“Kami mempunyai sistem yang dipanggil platform ‘Laluan Pantas’, iaitu pusat sehenti untuk mendapatkan semua sumber anda.

“Kami juga mempunyai inisiatif ‘Galakan Pelaburan’, iaitu potongan cukai sebanyak 20% bagi pelaburan dalam modal loji dan peralatan untuk banyak projek di negara ini,” katanya.

Luxon juga menggambarkan New Zealand sebagai “tempat perlindungan yang selamat dalam dunia yang semakin tidak menentu”.

“Kami terbuka untuk perniagaan dan kerajaan mempunyai tanggungjawab memastikan kemasukan modal asing ke New Zealand semudah yang mungkin.”

Walaupun banyak negara mengetatkan dasar imigresen mereka, Luxon berkata New Zealand sentiasa membuka pintu kepada tenaga kerja mahir dari rantau ini dan
seluruh dunia.

“Kami mahu menarik pelaburan ke negara ini dan sudah jelas, pekerja mahir juga boleh beri sumbangan,” katanya.

“Adalah penting untuk memastikan dasar imigresen selaras pembangunan infrastruktur dan juga strategi ekonomi negara.”

 Kerjasama kompetitif

Menurut Luxon, industri paling kompetitif di New Zealand berpotensi menawarkan peluang lebih besar untuk mengembangkan hubungan perniagaan antara perniagaan dan serta kerjasama industri.

“Kami mempunyai sektor makanan dan minuman yang sangat besar serta berjaya di New Zealand,” katanya.

“Negara-negara di seluruh Asean, dengan semakin ramai rakyatnya memasuki kelas pertengahan, kini mahukan makanan dan hasil pertanian berkualiti tinggi.”

Beliau berkata, walaupun New Zealand terkenal dengan sektor pertanian, negara itu kini sedang membangun kapasiti dalam sektor lain termasuk makanan halal, tenaga boleh diperbaharui, angkasa lepas dan teknologi.

“Mereka mengenali kami kerana pertanian tetapi apa yang orang ramai mungkin tidak tahu bahawa kami juga pelancar roket ke angkasa ketiga terbesar di dunia.

“Kami mempunyai program roket yang hebat, sektor penerbangan dan angkasa lepas termaju sedang berkembang pesat. Ia menjadi salah satu bidang pertumbuhan utama kami,” katanya.

Menurutnya, New Zealand juga mahu mengukuhkan dan merancakkan ekosistem syarikat pemula dalam tenaga boleh diperbaharui, teknologi pertanian, bioteknologi, kecerdasan buatan dan pengkomputeran kuantum.

“Ramai orang masih menganggap kami sebagai negara yang banyak kambing dan lembu, tetapi sebenarnya, kami juga negara cemerlang dalam sektor perkhidmatan — terutamanya dalam bidang teknologi,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.