
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Mohd Yusri Hassan Basri, berkata ia termasuk prosedur dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri dan polis peringkat kontinjen.
“Sebelum penganjuran sesuatu acara dibenarkan, ia melibatkan banyak pihak, termasuk PBT yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen, selain kebenaran pihak polis.
“JSPT akan memfokuskan kawalan lalu lintas dan keselamatan berdasarkan jumlah peserta, kenderaan serta orang ramai ingin hadir acara itu,” katanya kepada Bernama.
Semalam, Ketua Polis Terengganu, Mohd Khairi Khairuddin, berkata tiga individu maut dalam tiga kemalangan berasingan membabitkan peserta program “We Are RXZ Members 6.0”.
Program “We Are RXZ Members” yang diadakan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak pada 13 dan 14 Sept lalu ialah edisi keenam penganjuran, selepas julung kali diadakan pada 2017.
Sementara itu, Yusri berkata, sebanyak 1,366 kes kemalangan direkodkan di seluruh negara semalam membabitkan 12 kematian, menurun daripada 14 kematian dengan 1,641 kes kemalangan pada hari sebelumnya.
“Faktor kemalangan utama adalah faktor manusia, selain faktor kenderaan dan persekitaran yang hampir 95% kemalangan jalan raya berlaku. Sikap pengguna kenderaan bermotor memainkan peranan penting apabila berada di atas jalan raya.
“Hendaklah mempunyai sifat bertanggungjawab terhadap diri dan pengguna jalan raya lain, selain bekerjasama satu sama lain.”
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya, khasnya yang pulang ke kampung sempena cuti sekolah supaya merancang perjalanan.
“Apabila terperangkap dalam kesesakan hendaklah bersabar dan kawal emosi supaya tiada perkara negatif berlaku. Gunakan peluang cuti sekolah ini untuk mendidik ahli keluarga pentingnya keselamatan di jalan raya untuk mengurangkan kadar kemalangan maut.”