
Halim, yang juga pengerusi Sedania Innovator Berhad, menyuarakan rasa terima kasih tidak terhingga atas doa dan ucapan selamat, selain menyeru dihentikan khabar angin tersebut.
“Saya masih hidup dan sihat. Laporan berita palsu mengundang panik dan kesusahan tidak perlu terhadap ahli keluarga saya dan orang tersayang,” katanya dalam kenyataan.
“Sejak malam tadi, saya menerima banyak panggilan daripada pihak yang rapat dengan saya, kawan, dan kenalan, yang mana hanya mencetuskan kebimbangan dan kekhuatiran.”
Halim berkata, beliau kekal sihat dan berterusan menikmati rutin harian, termasuk kerap berjalan pagi.
Beliau juga menggesa tindakan segera diambil pihak berkuasa mengenal pasti dan menangani individu atau kumpulan bertanggungjawab menyebarkan khabar angin kematiannya.
“Laporan palsu ini tidak lain hanya menyebarkan ketakutan dan kekeliruan. Saya percaya pihak berkuasa akan mengesan pihak bertanggungjawab.”
Katanya, beliau telah meminta semua media yang menyebarkan laporan palsu itu segera menarik balik laporan mereka dan mengeluarkan permohonan maaf kerana mencetuskan kesusahan dan ketidakselesaan.
Awal hari ini, urusetia Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) mengesahkan pihaknya menerima banyak pertanyaan dan mengesahkan laporan Halim meninggal dunia sebagai tidak benar.