TNB nafi dakwaan tarif elektrik naik bulan ini

TNB nafi dakwaan tarif elektrik naik bulan ini

Syarikat utiliti negara itu berkata, pihaknya akan lapor sebaran maklumat palsu kepada SKMM.

tnb palsu
TNB nasihati orang ramai agar tidak sebar maklumat yang belum ditentukan sahih untuk elak kekeliruan serta keresahan awam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tenaga Nasional Bhd (TNB) menafikan dakwaan tarif elektrik akan dinaikkan bermula bulan ini, menyifatkan maklumat yang tular di media sosial itu sebagai tidak benar dan mengelirukan.

Syarikat utiliti negara itu menjelaskan, sebarang pelarasan kos elektrik ketika ini tertakluk kepada Mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).

Menurutnya, mekanisme AFA yang dilaksanakan sejak Julai 2025 ditentukan berdasarkan perubahan harga bahan api global serta kadar tukaran mata wang asing, dengan pelarasan dibuat secara bulanan dan disahkan oleh Suruhanjaya Tenaga.

Sehubungan dengan itu, TNB memaklumkan pihaknya akan melaporkan penyebaran maklumat palsu berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.

Syarikat itu juga menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang belum ditentukan kesahihannya bagi mengelakkan kekeliruan serta keresahan awam.

Pengguna disaran merujuk saluran rasmi TNB bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai sebarang perubahan berkaitan kadar elektrik negara.

Sebarang pertanyaan atau maklumat meragukan boleh disalurkan melalui mesej secara terus di Facebook TNB Careline dan platform X @Tenaga_Nasional atau e-mel ke [email protected].

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran berita palsu berhubung harga bahan api dan elektrik di tengah-tengah lonjakan harga tenaga akibat konflik Asia Barat.

Beliau berkata, SKMM telah mengesan 96 kes berita palsu mengenai harga bahan api dan elektrik di media sosial, memberi amaran bahawa maklumat sedemikian boleh mengelirukan orang ramai dengan mudah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.