
Dalam perutusan khas, Anwar berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengesan 96 kes berita palsu mengenai harga bahan api dan elektrik di media sosial, memberi amaran bahawa maklumat sedemikian boleh mengelirukan orang ramai dengan mudah.
Penyebaran maklumat palsu berhubung isu-isu ini, katanya, umpama cubaan menggugat kestabilan negara dan ‘memperjudikan nasib rakyat semata-mata untuk meraih keuntungan politik murahan’.
Anwar berkata, polis dan SKMM telah diarah mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menularkan maklumat salah itu, khususnya kandungan yang boleh menjejaskan keyakinan awam dan kestabilan ekonomi.
Beliau turut mempersoalkan niat di sebalik penyebaran kandungan terbabit, yang disifatkan boleh memburukkan lagi kebimbangan rakyat pada waktu ketidaktentuan global ini.
“Kita bekerja dalam keadaan yang luar biasa dengan cabaran yang meningkat tetapi ini tidak mungkin memadamkan kerenah orang-orang yang terus berdusta, membenci, sabotaj dan khianat,” katanya.
“Tujuan apa? Rakyat susah, negara tercabar dan terpaksa mengambil tindakan akibat peperangan di kawasan negara lain tetapi yang mereka teruskan ialah langkah khianat kepada negara dan kepada rakyat dengan memperhebahkan cerita palsu.”
Awal hari ini, SKMM berkata, pihaknya telah melancarkan siasatan terhadap tiga individu yang disyaki menyebarkan maklumat palsu di media sosial berhubung tarif elektrik didakwa naik.
Dalam kenyataan, agensi itu memaklumkan, hantaran palsu itu menyalahgunakan grafik dan kandungan rasmi Astro Awani, serta ditularkan di platform Facebook, Threads dan WhatsApp.
Kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sehubungan dengan itu, SKMM mengingatkan orang ramai agar menggunakan platform digital secara bertanggungjawab dan mengelak daripada memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh mengancam keharmonian sosial mahupun ketenteraman awam.