
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata justeru tiada perkara mendesak untuk parti Melayu bergabung.
“Bukan seperti 2018 di mana BN hilang kuasa, Melayu hilang kuasa maka itu dikatakan timbul Muafakat Nasional.
“Ketika ini, Umno akan kata mereka dalam kerajaan, boleh pertahankan 3R (agama, bangsa, raja), manakala pembangkang kata mereka boleh membangkang dan buat semak imbang,” katanya kepada FMT.
Pada 7 Sept, ketika berucap di pentas Pejuang, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyarankan semua parti berasaskan Melayu mengetepikan perbezaan dan perjuangan masing-masing buat sementara, bagi mewujudkan gabungan politik memperjuangkan khususnya bangsa Melayu.
Katanya, sama ada suka atau tidak perjuangan di Malaysia dipengaruhi bangsa – Melayu, Cina, dan India.

Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata ideologi penyatuan seluruh rakyat perlu diangkat, lebih-lebih lagi negara baru sahaja melepasi bulan kemerdekaan.
“Tapi, kita faham, ini adalah politik Mahathir iaitu tentang bangsa Melayu. Bukan sahaja tentang (menjadikan Mahathir) relevan, tetapi ini cara untuk melawan Pakatan Harapan,” katanya.
Zaireeni Azmi dari Universiti Sains Malaysia, berkata setiap parti Melayu boleh menubuhkan gabungan tanpa mengetepikan etnik lain kerana generasi hari ini turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan negara.

“Bangsa lain juga rakyat Malaysia. Bila cakap politik kena ambil kira semua etnik, bukan hanya Melayu tetapi India dan Cina.
“Kalau tidak, sampai bila-bila perbezaan etnik jadi kekangan besar untuk kita hidup harmoni. Ungkapan dikeluarkan Mahathir ini kebiasaannya diungkapkan dekat PRU, kalau tidak, memang tidak ada modal selain isu ini,” katanya.

Lau Zhe Wei dari UIAM mengakui parti Melayu perlu membentuk gabungan, bagaimanapun ia sukar direalisasikan kerana isu siapa akan memimpin akan menyebabkan mereka berpecah.
“Tapi parti Melayu ada PAS, Bersatu, Umno, PKR, Amanah, dan Pejuang. Kalau semua parti ini bersatu akan ada kekuatan. Cuma siapa nak jadi pemimpin. Selagi isu pemimpin tidak selesai maka perpecahan akan terus berlaku,” katanya.