Pakatan politik gaya Sabah menjelang PRU16

Pakatan politik gaya Sabah menjelang PRU16

Seorang penganalisis berkata proses tawar-menawar pasca-pilihan raya akan berlaku dengan seteru semasa berkemungkinan besar bergandingan bentuk kerjasama selepas situasi kembali tenang.

Anwar Ibrahim, Zahid Hamidi, Abdul Hadi Awang, Muhyiddin Yassin, Abang Johari Openg, dan Hajiji Noor berdepan keputusan kritikal menjelang PRU16.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik meramal peralihan pakatan akan menjadi ciri utama semasa dan selepas PRU16 dengan parti politik mengekalkan pilihan terbuka sekiranya berlaku lagi Parlimen tergantung.

Meskipun pakatan utama dibentuk sejak 2022, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia, berkata setiap parti akan mengambil langkah selamat bagi memastikan mereka sekurang-kurangnya mempunyai peranan dalam pembentukan kerajaan pasca-PRU16.

Beliau berkata, ia boleh menjurus kepada kerjasama antara musuh ketat untuk mentadbir negara, sama seperti perkongsian semasa antara seteru lama, Umno dan DAP, dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Ya, saya jangka akan melihat lebih banyak peralihan pakatan semasa musim PRU16, dengan tokoh politik dan blok berpotensi mengekalkan pilihan terbuka sehingga ke saat akhir mengenai bila dan dengan siapa pakatan akan dibentuk, walaupun dengan ‘musuh’ politik sebelum ini,” kata Fauzi.

“Kuasa adalah fenomena politik utama, jadi apa sahaja yang diperlukan untuk membentuk pakatan yang berfungsi, sekali gus mengumpulkan kuasa dalam satu formasi yang padan akan diutamakan sebaik sahaja keputusan pilihan raya menuntut jalan penyelesaian,” katanya kepada FMT.

Fauzi berkata, situasi berkenaan seakan menyerupai PRN Sabah, di mana rundingan pascapilihan raya sering dianggap lebih penting daripada pakatan pilihan raya.

Perkara ini terbukti pada PRN itu tahun lalu, apabila kerajaan negeri dibentuk antara lain oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS), BN, PH, Parti Solidariti Tanah Airku, dan Upko, walaupun mereka bersaing sengit ketika berkempen.

Beliau berkata, perbezaan ketara adalah mengenai politik perkauman yang lebih dominan di Semenanjung, dengan pemimpin tertentu berkemungkinan menggunakan sentimen sedemikian semasa berkempen.

Namun, Fauzi berkata, tokoh politik sama ini berkemungkinan besar akan menjadi antara ahli politik yang menerajui proses tawar-menawar dan ‘rundingan rumit’ pasca-pilihan raya.

Sebelum ini, Anwar menyatakan tidak akan mengadakan PRU16 ‘dalam tempoh satu atau dua bulan akan datang’, bagaimanapun spekulasi mengenai pilihan raya mengejut pada akhir tahun ini tetap berterusan.

Perang Iran rencat rancangan PRU

James Chin dari Universiti Tasmania, percaya kesan peperangan Iran mengganggu perancangan pilihan raya kerajaan, terutamanya mengadakan PRU16 mengejut tahun ini.

Beliau berkata, impak harga tinggi minyak mentah terhadap inflasi akan menghalang Anwar daripada memanggil pilihan raya, sambil menambah ia merupakan risiko politik jauh lebih besar, berbanding faktor domestik.

“Waktu bagi pilihan raya menjadi kucar-kacir. Apa sahaja perancangan dibuat tergendala akibat perang Trump di Iran,” katanya.

Chin berkata, pilihan Anwar adalah sama ada menangguhkan pilihan raya dengan harapan peperangan itu akan berakhir tidak lama lagi, atau mengadakannya lebih awal jika kesan konflik dijangka berlarutan sehingga akhir tahun.

Berbeza dengan Fauzi, Chin tidak meramalkan sebarang peralihan besar dalam pakatan, sekurang-kurangnya bagi berdepan PRU16. Beliau berkata, Anwar lebih gemar PH menghadapi pilihan raya bersama sekutu sedia ada, terutamanya Umno, Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan GRS.

“Dari sudut pembangkang, jelas sekali Bersatu boleh dikatakan sudah berakhir. PN pada dasarnya hanyalah PAS dan parti kecil lain. Saya fikir Bersatu akan berhadapan kesukaran untuk pulih selepas Hamzah Zainudin keluar, bersama dengan ramai pemimpin dan Ahli Parlimennya,” katanya.

Ketidaktentuan Umno

PH dan BN merupakan sekutu dalam kerajaan perpaduan pimpinan Anwar, manakala GPS pimpinan Abang Johari Openg dan GRS pimpinan Hajiji Noor memberikan sokongan penting bagi membolehkan Anwar membentuk kerajaan.

Namun, terdapat tentangan pihak tertentu seperti Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh terhadap kerjasama PH-BN pada PRU16.

Sejak setahun lalu, Pengerusi BN Zahid Hamidi, berulang kali menegaskan untuk menghadapi PRU16 bersama PH. Namun, kebelakangan ini beliau dilihat lebih berahsia walaupun menyatakan pada 6 Jan lalu bahawa Umno akan kekal setia kepada kerajaan perpaduan sehingga tiba PRU16.

Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, juga menyatakan pada Januari lalu di mana parti itu masih belum memutuskan mengenai pakatan politik menjelang PRU.

Dalam pada itu, pakatan pembangkang sendiri dilihat tidak stabil. Tindakan PAS mengambil alih jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN) mencetuskan spekulasi Bersatu akan lebih memberi tumpuan kepada pakatan longgar Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), sambil desakan agar PAS menghidupkan semula hubungan dengan Umno masih berkumandang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.