
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata tindakan membawa isu itu ke ruang terbuka bukan sesuatu yang luar biasa, sebaliknya boleh dilihat sebagai strategi untuk memastikan tuntutan Amanah diberi perhatian dalam rundingan dalaman gabungan.
“Apabila menggunakan media, isu itu menjadi terbuka dan secara tidak langsung boleh memberi tekanan kepada PH untuk mempertimbangkan permintaan Amanah.
“Jika hanya dibawa dalam mesyuarat dalaman, ada kemungkinan ia dipinggirkan,” katanya.
Rabu lalu, Ketua Amanah Wilayah Persekutuan Khalid Samad dilaporkan berkata partinya mahu memperluas penguasaan kerusi Parlimen pada PRU16, termasuk menyasarkan Putrajaya, selain turut mengintai Titiwangsa dan Labuan untuk mewakili PH.
Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail meminta Amanah membawa sebarang cadangan tuntutan kerusi itu ke mesyuarat Majlis Presiden PH, bukannya dibangkitkan melalui media.
Bagaimanapun, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri melihat langkah Amanah itu dari sudut berbeza, menyifatkannya sebagai petanda kelemahan strategi dan jentera parti.
Menurutnya, tuntutan kerusi sepatutnya dibincangkan melalui Majlis Presiden PH, bukan diumumkan secara terbuka.
“Apabila Amanah memilih jalan media, ia seolah-olah mengaku suara mereka terlalu kecil untuk didengar dalam mesyuarat gabungan,” kata penganalisis dari Global Asia Consulting itu.
Beliau turut mempersoalkan rasional sasaran kerusi yang dianggap sukar seperti Putrajaya dan Titiwangsa, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai cubaan menonjolkan diri.
“Hakikatnya, Amanah kelihatan lebih sibuk mencari ‘kawasan selamat’ untuk menonjolkan diri, bukannya membina kekuatan sebenar di lapangan,” katanya.