Teguran perlu adil, pemimpin Amanah beritahu Saifuddin

Teguran perlu adil, pemimpin Amanah beritahu Saifuddin

Faiz Fadzil berkata Saifuddin Nasution Ismail selaku ketua setiauasaha PH juga perlu tegur PKR yang tuntut kerusi Temerloh.

Faiz Fadzil, Mujahid Yusof Rawa dan Hasbie Muda menegur kenyataan Saifuddin Nasution Ismail berkait tuntutan kerusi parti komponen PH.
PETALING JAYA:
Beberapa pemimpin Amanah menegur Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Saifuddin Nasution Ismail supaya dilihat adil apabila mengulas tuntutan kerusi pilihan raya oleh parti komponen gabungan itu.

Mereka berkata jika Amanah ditegur kerana menyuarakan hasrat bertanding di beberapa kerusi secara terbuka, pendekatan sama juga perlu dikenakan terhadap PKR yang sebelum ini turut membuat tuntutan terbuka, termasuk membabitkan kerusi Temerloh.

Kerusi Temerloh sebelum ini diwakili oleh Amanah yang pernah memenanginya pada PRU14.

Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil berkata teguran Saifuddin perlu dibuat secara adil kepada semua parti dalam PH, bukannya tertumpu kepada Amanah semata-mata.

“Teguran itu perlu adil kepada semua parti gabungan termasuk PKR yang secara terbuka menuntut beberapa kerusi termasuk Temerloh,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Saifuddin yang meminta Amanah membawa sebarang cadangan tuntutan kerusi, termasuk hasrat bertanding di Putrajaya ke Mesyuarat Majlis Presiden PH, bukannya dibangkitkan melalui media.

Kelmarin. Ketua Amanah Wilayah Persekutuan Khalid Samad dilaporkan berkata partinya mahu memperluas penguasaan kerusi Parlimen pada PRU16, termasuk menyasarkan Putrajaya, selain turut mengintai Titiwangsa dan Labuan untuk mewakili PH.

Mengulas dua kerusi itu, Faiz berkata tuntutan Amanah bukan dibuat secara semberono, sebaliknya berdasarkan penilaian bahawa parti itu mempunyai peluang untuk menang.

“Sungguhpun pembahagian kerusi bukan agihan zakat, prinsip ditegakkan ialah keadilan,” katanya.

Beliau berkata Amanah akan membawa hujah dan data dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH bagi menyokong tuntutan tambahan kerusi, termasuk bersandarkan prestasi parti itu dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

“Amanah akan membawa hujah dan data menyakinkan untuk menuntut lebih kerusi berdasarkan prestasi cemerlang sebelum ini termasuk berjaya mempertahankan Simpang Jeram dan Parlimen Pulai dalam PRK lalu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah Mujahid Yusof Rawa berkata tuntutan kerusi sesama parti komponen PH bukan perkara luar biasa, khususnya apabila membabitkan kerusi yang kini dikuasai lawan.

Katanya, tindakan Amanah menyatakan hasrat itu tidak sepatutnya dijadikan polemik.

“Kalau dikatakan Amanah tak perlu maklumkan kepada umum tuntutan itu, ketua setiausaha PH juga tak perlu menghebohkan sikapnya kepada awam dengan membuat kenyataan terbuka,” katanya.

Mujahid turut mengingatkan bahawa semua saluran dalaman PH sentiasa terbuka untuk perbincangan, selain menegaskan tiada mana-mana parti dalam gabungan itu harus dianggap lebih besar atau lebih kecil.

Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda pula berkata Saifuddin, selaku ketua setiausaha PH, mesti dilihat berkecuali dan tidak memihak dalam mengeluarkan teguran kepada parti komponen.

Katanya, Saifuddin sepatutnya terlebih dahulu menegur PKR Temerloh yang secara terbuka menyatakan hasrat bertanding di kerusi Parlimen itu pada PRU16, walaupun ia sebelum ini dipersetujui sebagai kerusi Amanah.

“Apabila ada kenyataan yang mencabar status quo, ia akan mengundang respons dan tuntutan terbuka di kerusi-kerusi lain.

“Sebagai ketua setiausaha PH, Saifuddin sepatutnya dilihat tidak bias atau berpihak dalam membuat teguran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.