Kepulangan tokoh bantu Umno kukuhkan sokongan PRU16, kata penganalisis

Kepulangan tokoh bantu Umno kukuhkan sokongan PRU16, kata penganalisis

Langkah Umno menerima semula bekas pemimpin dilihat sebagai bukti kesungguhannya untuk kembali menjadi kuasa penyatu orang Melayu.

PAU2025 PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
Kemasukan semula bekas ahli menunjukkan Umno sedang menoktahkan konflik dalaman pasca-PRU15 dan menyusun semula ‘aset pilihan raya’, menurut Awang Azman Pawi.
PETALING JAYA:
Keputusan Umno menerima semula beberapa bekas pemimpin termasuk Khairy Jamaluddin serta menarik balik penggantungan Hishammuddin Hussein dilihat sebagai langkah mengukuhkan semula parti menjelang PRU16, kata penganalisis.

Mazlan Ali, Azmil Tayeb dan Awang Azman Pawi berkata langkah itu termasuk penerimaan semula tokoh veteran Syed Hamid Albar dan 6,252 bekas ahli, menunjukkan kesungguhan Umno kembali berperanan sebagai kuasa penyatu orang Melayu.

Bercakap kepada FMT, Mazlan berkata langkah itu penting dalam usaha Umno untuk kembali menjadi parti utama orang Melayu, seperti ketika menerajui kerajaan selama enam dekad sebelum tumbang pada 2018.

“Saya percaya kedudukan Umno akan bertambah baik kerana parti itu dilihat semakin pulih dan berjaya menarik semula bekas pemimpin serta ahli yang pernah meninggalkannya,” kata penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia itu.

Katanya, lebih ramai bekas ahli dijangka kembali menyertai Umno menerusi platform ‘Rumah Bangsa’.

“Ia juga mencerminkan visi Presiden Umno Zahid Hamidi dan menunjukkan kepimpinannya berkesan dalam menyatukan semula parti,” katanya.

Azmil dari Universiti Sains Malaysia pula berkata langkah itu menunjukkan Umno mahu tampil bersatu ketika bersiap sedia menghadapi PRU16.

Katanya, keadaan itu berbeza dengan Bersatu yang kini dilihat berdepan perpecahan.

“Umno yang bersatu mempunyai peluang lebih baik untuk menyaingi Perikatan Nasional (PN) berbanding pada PRU15, apabila ramai pemimpin dan ahlinya meninggalkan parti untuk menyertai PN,” katanya.

Sementara itu, Awang Azman berkata kemasukan semula bekas ahli menunjukkan Umno mahu menutup episod konflik dalaman selepas PRU15 dan mengumpulkan semula “aset pilihan raya” parti.

Katanya, aset itu merangkumi pemimpin, penyokong dan jentera organisasi.

“Ini menunjukkan peralihan daripada politik penyingkiran kepada politik perdamaian, yang penting untuk membina semula kekuatan akar umbi yang sebelum ini berpecah,” kata ahli akademik Universiti Malaya itu.

“Ia juga memberi mesej kepada pengundi bahawa Umno masih relevan sebagai parti payung Melayu yang berpengalaman mentadbir.”

Menurutnya, kepulangan tokoh berprofil tinggi akan membantu mengukuhkan asas sokongan parti dan rangkaian lama yang masih berpengaruh.

Katanya, Khairy mempunyai tarikan dalam kalangan orang muda dan kelas menengah, Hishammuddin pula membawa jaringan diplomatik antarabangsa khususnya dengan China dan Timur Tengah, manakala Syed Hamid mewakili kelompok veteran yang masih dikenali.

Bagaimanapun, Awang Azman berkata langkah itu turut mempunyai risiko kerana kemunculan semula tokoh besar boleh mencetuskan persaingan kuasa dalam parti, terutama dengan pemimpin sedia ada.

“Persoalannya, adakah ini benar-benar usaha penyatuan semula atau hanya penyusunan semula kuasa?” katanya.

Beliau berkata pada masa sama Umno juga perlu membawa masuk bakat baharu, termasuk pemimpin akar umbi, teknokrat dan tokoh masyarakat sivil.

Katanya, golongan wanita dan pemimpin muda yang dilihat segar, berwibawa dan boleh diterima di luar kelompok tradisi parti juga perlu diberi ruang.

“Ini penting kerana sebahagian besar pengundi pada pilihan raya akan datang terdiri daripada orang muda, belum membuat keputusan dan mahukan pemimpin yang bukan sekadar wajah lama,” katanya.

Perkukuh kedudukan Umno

Azman berkata langkah itu juga boleh mengukuhkan kedudukan tawar-menawar Umno dalam kerajaan perpaduan.

Katanya, semakin kuat Umno dari segi dalaman, semakin besar pengaruhnya dalam menentukan hala tuju dasar dan pengagihan kerusi pada masa depan.

“Secara keseluruhan, ini menunjukkan Umno sedang beralih daripada sikap bertahan kepada usaha membina semula kekuatan politiknya.

“Jika diurus dengan baik, langkah ini boleh mengembalikan Umno sebagai kuasa dominan dalam politik Malaysia.

“Namun, jika soal ego dan keseimbangan kuasa gagal diurus, konflik lama mungkin berulang dalam bentuk baharu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.