
Zahid berkata, kebanyakan mereka sudah bertemunya secara tidak rasmi bagi menyatakan hasrat kembali bersama Umno.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama mereka yang bertemunya, atas faktor menjaga hubungan dan ‘air muka’ pemimpin berkenaan.
“Ramai (yang sebelum ini telah keluar Umno dan bersama pembangkang) berjumpa dengan saya, tetapi untuk menjaga air muka, saya tidak perlu menyebut nama mereka di sini.
“Kita mengalu-alukan semua pihak tanpa syarat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan RisSMart Grocer.
Kelmarin, Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, mengumumkan parti menerima kembali lebih 6,000 bekas pimpinan dan ahli termasuk Khairy Jamaluddin, Hishammuddin Hussein dan bekas ahli MKT, Syed Hamid Syed Jaafar Albar.
Umno menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun dan memecat Khairy pada 2023 kerana melanggar disiplin parti.
Syed Hamid mengumumkan keluar Umno pada 2018, menyertai Bersatu pada tahun sama, dan mengumumkan keputusan bersara daripada politik sekali gus menarik diri daripada Bersatu pada 2022.
Mengulas lanjut, Zahid berkata setakat ini, sebanyak 6,252 permohonan diterima termasuk daripada individu berprofil tinggi, yang dilihat sebagai perkembangan positif terhadap usaha memperkukuh semula parti.
“Ini merupakan satu perkembangan yang cukup baik, dan saya menjangkakan lebih ramai lagi nama besar akan menyertai di bawah Rumah Bangsa,” katanya.
Zahid berkata, melalui inisiatif Rumah Bangsa, MKT Umno memutuskan permohonan tidak lagi perlu melalui proses rujukan berlapis seperti sebelum ini.
Sebaliknya, beliau berkata kuasa diberikan kepada jawatankuasa ‘Rumah Bangsa’ dipengerusikan Naib Presiden Khaled Nordin untuk meluluskan permohonan segera.
“Mereka hanya perlu menulis surat menyatakan hasrat kemasukan dan kita akan terus membuat keputusan,” katanya.
Zahid berkata, pendekatan itu sebahagian usaha reformasi dalaman parti bagi mempercepatkan proses keahlian, khususnya dalam menarik semula tokoh berpengaruh.
Selain itu, beliau berkata Umno kini turut membuka permohonan keahlian secara dalam talian, termasuk pengeluaran kad keahlian digital yang boleh diperoleh hampir serta-merta.
Menurutnya, pendekatan baharu itu adalah ‘game changer’ yang membolehkan permohonan dibuat terus ke ibu pejabat tanpa birokrasi berlebihan.
“Dulu prosesnya panjang dari cawangan ke bahagian, ke negeri dan akhirnya ke ibu pejabat. Ini tidak digemari oleh golongan muda,” katanya.